Isnin, 9 Januari 2012

Propaganda TV

Keputusan perbicaraan Datuk Sri Anwar Ibrahim ( DSAI ) hari ini sudah di ketahui, pada malam ini sambil menghadapi hidangan malam, saya menunggu siaran berita ( baca propaganda) dari TV3 jam 8.00 malam, sudah lama saya tidak mengikuti sebarang berita dari semua saluran tv kerana saya sudah tahu apa yang mahu mereka katakan, oleh itu tidak perlu lagi saya menyakitkan hati sendiri dengan menonton propaganda mereka.

Hari ini saya ubah fikiran kerana mahu melihat gaya persembahan berita setelah saya mendapat tahu dari Internet bahawa DSAI di bebaskan, saya fikir munkin ada perubahan, rupanya saya silap, seperti biasa apabila berita tersebut tidak menyebelahi pihak penguasa rasuah ini, maka berita mengenainya hanya sedikit sahaja, malah gambar penyokong DSAI yang berhimpun di luar Mahkamah tidak disiarkan lansung.

 Jikalaulah saya tidak melihat gambarnya di Internet, munkin saya seperti penyokong Umno yang lain menyangka bahawa kumpulan perkasa lebih ramai dari kumpulan DSAI, begitulah saluran tv kita berjaya meperbodohkan orang-orang kampung dan masyarakat felda supaya mempercayai kononya DSAI tidak ada penyokong, itulah demokrasi yang kita warisi dari kerajaan BN.

Saya mengikuti terus berita tersebut dan saya dapati berita tentang Hasan Ali yang di pecat dari PAS mendapat liputan lebih lama sehingga di ulang berkali-kali, maklumlah pada pemikiran mereka,  berita ini yang boleh menguntungkan mereka.

Hasan Ali bertempik kononnya dia di pecat kerana Anwar Ibrahim, sedangkan katanya PAS tidak perlu membela Anwar di sebabkan kononya isu liwat ini adalah isu peribadi Anwar, ayat itulah di ulang berkali-kali bagi mempengaruhi orang PAS supaya menyokongnya.

Persoalannya, benarkah  kes liwat ini adalah soal peribadi Anwar ?  jikalau benar begitu, sangat mudah bagi Anwar menyelesaikannya, Anwar hanya perlu mendiamkan diri dan meninggalkan bidang politik, pasti kesnya akan dilupakan begitu sahaja, sepertimana yang telah dilakukan oleh berapa pemimpin terdahulu yang menghadapi pelbagai kes, sejak semasa Mahathir memerintah sampailah sekarang.

Tetapi Anwar adalah seorang pemimpin yang berjiwa besar, beliau tidak selesa melihat rakyat ditindas oleh penguasa yang zalim ini dan beliau telah berazam mahu membebaskan rakyat dari cengkaman itu, di sebabkan semangat inilah Anwar di pukul, di telanjang, di penjarakan dan pelbagai deraan lagi yang jika terkena pada orang lain pasti sudah mengalah.

Setelah keputusan Mahkamah hari ini apakah anda fikir bahawa seksaan terhadap Anwar sudah berakhir ?

Jawapannya pasti tidak, pertama mereka yang tidak berpuas hati di atas pembebasan ini, akan berusaha untuk membuat semakan ke Mahkamah Rayuan pula dan kita jangan lupa terhadap apa yang berlaku kepada Datuk Sri Nizar Jamaluddin, Menteri Besar Perak dahulu.

Semasa di peringkat Mahkamah Tinggi, Nizar menang tetapi tidak sampai 24 jam selepas itu, kes beliau dibawa ke Mahkamah Rayuan dan beliau dinafikan haknya sebagai Menteri Besar, apakah peristiwa seperti ini tidak akan berlaku kepada kes DSAI ?

Kita jangan lupa DSAI juga diaibkan dengan kes melanggan pelacur dan isu ini masih di ulang-ulang walaupun jika diamati, jelas bahawa individu tersebut bukan DSAI, perhatikan hidung, potongan rambut dan perut individu tersebut yang boroi sedangkan perut DSAI kempis, namun itu bukan persoalannya, yang penting Mak Cik, Pak Cik di kanpung-kampung dan Masyarakat felda boleh di pengaruhi dan dari pengamatan saya, memang ramai juga kelumpuk ini yang terpengaruh.

Saya cuba juga menerangkan kepada mereka-mereka ini tetapi apalah sangat usaha kita jika di bandingkan dengan usaha semua saluran tv dan akhbar yang saban hari memomokkan berita yang sama, tambahan lagi kelompok kampung ini terlalu taksub dengan kerajaan.

Bagi mereka-mereka ini, Kerajaan itu adalah BN dan BN itu adalah Kerajaan, persepsi ini bukan mudah untuk di ubah, Itulah sebabnya jika kita memberitahu tentang pelbagai penyelewengan Kerajaan BN, mereka semacam tidak percaya, ceritalah pasal projek lembu bertukar menjadi kondo serta kosnya sehingga 250 juta, mereka buat tidak tahu saja, bagi mereka itu duit dia, dia punya pasallah, kalau kita kata itu duit kita juga, dia kata, bila masa pulak kita beri kat dia....... memang payah......

Satu lagi modal Umno yang sering mereka dendangkan ialah bahawa DAP itu musuh Melayu, walau berbuih mulut kita menerangkan bahawa MCA itu lebih perkauman dari DAP, mereka tetap percaya kononya DAP lebih bahaya dari MCA dan perlu dijauhi.

Oleh itu saya percaya tugas untuk mengalahkan BN ini bukan mudah dan DSAI menyedari perkara ini, tetapi DSAI ini jenis bukan mudah putus asa, kerana itu slogan DSAI yang terbaru sangat sesuai untuk dijadikan inspirasi didalam perjuangan, iaitu kata DSAI, " Yang penting bukan kebebasan saya, tetapi kebebasan Rakyat dari belenggu Kerajaan Barisan Nasional "  lawan tetap lawan............ Sekian.

Baca juga yg di bawah ini.....



Ahad, 8 Januari 2012

Menjelang Keputusan Perbicaraan Untuk Anwar Esok

Demi survival politik UMNO Anwar mesti dihapuskan. Walau dengan apa cara sekalipun watak ini mesti dihapuskan dari arus politik Malaysia. Watak inilah yang menggelorakan arena politik Malaysia yang sebelum ini tenang tidak pernah bergoyang sedikitpun. Sama ada orang suka atau benci, Anwar pernah disenarai oleh TIME MAGAZINE 2008 sebagai antara 100 tokoh dunia paling berpengaruh sebaris dengan Obama, Vladimir Putin, Hillary Clinton, Sonia Gandhi John McCain dan lain-lain. 

Beliau belum pernah gagal dalam sebarang pertandingan. Jenayah paling besar yang pernah dilakukannya ialah mencabar Mahathir pada tahun 1998. Sejak itu nasibnya pun berubah. Satu demi satu kawan berpaling tadah.

Tsunami Politik 2008 adalah antara kesan dan pengaruhnya. BN hilang kuasa 2/3 di parlimen. Jika tsunami politik berskala lebih besar melanda PRU13 dan Putrajaya terbungkas maka pada ketika itu rakyat akan tahu bahawa terdapat sebuah terowong bawah tanah menghubungkan Putrajaya dan KLIA. Pada ketika itu lubang-lubang tikus di sempadan juga akan menjadi tidak selamat.

Dia adalah penggugat yang mengancam tahta dan singahsana kuasa berupaya menggegarkan tenaga muda progresif membina garis baru politik Malaysia - Negara bangsa yang adil serta hak asasi lebih terjamin.

Politik UMNO adalah warisan politik bangsawan Melayu feudal yang melihat Jebat sebagai orang yang sangat berbahaya. Warisan Pateh Karma Wijaya mencetus fitnah yang menyebabkan Jebat mengamuk dan akhirnya dibunuh. Pun begitu, Jebat tidak pernah mati. Semangat Jebat terus hidup dalam setiap jiwa yang cintakan keadilan.
Dalam konflik kuasa politik orang-orang Melayu sejak dulu fitnah adalah aparat politik yang sangat ampuh untuk menghapuskan musuh. Dalam hal ini Datok Bahaman pernah berpesan kepada pengikutnya agar jangan sekali-kali percaya kepada pembesar-pembesar Melayu.

Bahaman adalah panglima raja - bergelar Orang Kaya Semantan menentang dasar cukai tanah yang zalim oleh Inggeris di Pahang akhirnya menjadi orang buruan. Minumannya pernah dibubuh racun dalam satu majlis bersama pembesar-pembesar Melayu di Kota Bharu pada tahun 1896. Ia terselamat dan selepas itu Bahaman kemudian menukar namanya untuk setiap perjalanannya agar jejak beliau tidak dikesan.

Abdullah CD adalah warisan Perang Bahaman pemimpin Regimen 10 yang memakai berbagai nama dihutan akhirnya termakan juga racun yang dimasukkan di dalam makanannya. Dia diracun oleh orang yang diupah pada tahun 1971 yang kemudian telah membuat pengakuan secara pribadi kepadanya. Ketika itu Regimen 10 (Melayu) amat menjadi ancaman terhadap UMNO.

Dalam kes Anwar walaupun dikenali sebagai pemimpin yang begitu toleran namun Anwar adalah pemberontak terhadap ketidakadilan dan kerakusan kuasa kaum bangsawan Melayu yang telah berlanjutan lebih setengah abad. Pidatonya jitu dan mencengkam jiwa pendengar serta mampu mencetuskan gelombang kebangkitan di kalangan orang muda.
Lebih menggugat apabila dia berjaya membawa PAS-DAP duduk semeja sekaligus menghancurkan seluruh usaha UMNO selama ini agar PAS dan DAP terus bercakaran. Anwar juga telah berjaya mengubah persepsi negatif orang-orang Tionghua terhadap PAS. 

Sokongan orang-orang Tionghua terhadap calon PAS di beberapa kawasan pilihanraya kecil menjadi bukti perkara ini. Sebelum ini PAS adalah "kui" atau hantu kepada orang Tionghua yang selalu diusik-usik oleh pemimpin-pemimpin UMNO supaya menjauhi parti ini kecuali jika mereka sanggup disunat….!

Anwar berjaya melunturkan kepercayaan orang-orang Tionghua terhadap MCA dan Gerakan. Di Bandar-bandar di Semenanjung boleh dikatakan hampir tiada lagi orang-orang Tionghua yang percaya pada MCA atau Gerakan. Kalau adapun mungkin yang sangat terpencil. Arus ini tidak mungkin surut lagi malah diramal akan menjadi gelombang lebih besar dalam PRU 13 nanti. 

Ada baiknya pemimpin-pemimpin MCA dan Gerakan bungkus kain baju mereka dan tinggalkan parti. Parti itu sudah tidak relevan. Orang-orang Tionghua tidak mudah dibeli dengan duit seperti orang Melayu, Malanau, Iban dan Kardazan. Sekolah Cina telah wujud di Malaya sejak tahun 1930 lagi ketika itu sekolah Melayu pun belum ada. Ini bermakna mereka kenal huruf-huruf p-o-l-i-t-i-k itu lebih awal.

Selain daripada fitnah dan isu perkauman apakah alat lain yang boleh diketengahkan untuk menyekat Anwar kecuali good governance dan jangan menindas rakyat. Dan ini tidak mungkin terjadi! Dalam hal ini pilihan yang ada ialah "Anwar" dia mestilah dihapus demi kesinambungan kuasa bangsawan Melayu itu. Sekali lagi kaum bangsawan menuduh Anwar sebagai orang kecewa yang kononnya memberi harapan kepada orang-orang Tionghua untuk memerintah negara ini.

Fitnah bersiri yang dilancarkan UMNO terhadap Anwar bukanlah suatu yang aneh kerana hanya cara ini sahaja watak ini boleh dihapuskan. Selain Anwar siapa lagi yang boleh menyatukan PAS-DAP yang sepanjang sejarah bertikaian tetapi hari ini telah menjadi benteng baru untuk rakyat sandarkan harapan. Sebelum ini pemimpin-pemimpin besar UMNO tidak pernah percaya bahawa akan wujud barisan alternatif seperti BN. Justeru mereka percaya hanya BN sahaja yang boleh mendirikan kerajaan.

Lebih 50 tahun PAS dan DAP dilaga-lagakan agar berkelahi seperti anjing dengan kucing. Bila anjing dan kucing sibuk bercakar maka ada peluang untuk mereka menyelongkar. 

Anwar telah menukar emosi anjing dan kucing hingga mereka boleh makan bersama. Justeru kebelakangan ini, strategi melaga-lagakan PAS - DAP sudah tidak berguna lagi. Dalam keadaan ini adakah aneh sekiranya "Anwar" dijadikan sasaran supaya semuanya berkecai! Rekayaksa video lucah dan tayangannya di TV untuk ditonton oleh rakyat adalah hanya untuk memainkan emosi Melayu. Kenapakah isu Sodomi dan video lucah ini langsung tidak mempengaruhi masyarakat Tionghua?

Ternyata isu video lucah ini telah digunakan sepenuhnya oleh UMNO demi menyelamatkan Serawak dalam PRN baru-baru ini. Ia telah ditayangkan tidak henti-henti tanpa ada sedikitpun perasaan bersalah kerana melancarkan fitnah yang besar. Ia belum pasti benar dan dilarang Allah. Kerja terdesak ini hanya sanggup dilakukan oleh pemimpin-pemimpin yang sangat jahat dan rendah akhlaknya.

Isu video lucah ini meletup pada hari DUN Serawak dibubarkan. Tayangan video ini terhenti sebaik sahaja pilihanraya selesai. Kenapa tidak diteruskan saja tayangan itu dan CDnya dibekalkan ke setiap sekolah supaya semua anak-anak kita di sekolah juga tahu siapa itu Anwar Ibrahim! Bila mereka keluar sekolah nanti mereka semuanya akan mendaftar menjadi ahli UMNO.

Anwar adalah pemimpin kepada kelas rakyat yang mendambakan pembelaan yang hidup tapi mabuk dalam derita. Kelas ini miskin namun mereka tidak tahu bahawa tidak sepatutnya miskin dalam sebuah negara yang begitu kaya. Mereka tidak sedar walaupun mereka bekerja keras namun hidupnya berselimut hutang demi menyara keperluan keluarga dan pendidikan anak-anak. Mereka tidak peduli dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang horaa sana dan horaa sini dengan duit yang mereka rompak dan pau daripada rakyat menerusi berbagai sumber cukai, lesen, permit, denda, toll, saman ekor dan sebagainya. Dengan berbagai-bagai cara mereka tekan dan tindas asal mereka boleh dapat duit dari saku rakyat
Semua fitnah ini perlu dilancarkan demi melencungkan perhatian rakyat terhadap pelbagai penyelewengan. Kritikan terbuka Anwar terhadap keterlibatan Najib dalam kes rasuah pembelian jet Sukhoi dan kapal selam Scorpene sebanyak RM500 juta oleh Kementerian Pertahanan telah menjadi rekod umum. 

Begitu juga desakan yang berulang kali dari Anwar terhadap Najib membenarkan penyiasatan bebas bagi membersihkan namanya dan Rosmah atas dakwaan berwibawa pembunuhan yang terkenal - wanita Mongolia Altantuya Shaaribuu.

Ternyata UMNO bukan saja telah menyalahguna media milik kerajaan malah lembaga-lembaga awam seperti Polis, Pejabat Peguam Negara, Lembaga Kehakiman Suruhan-jaya demi kuasa. Tanpa mempeduli tunjang sebuah negara demokrasi iaituseparation of power seluruh lembaga ini sejak 1998 telah dikerah untuk menghapuskan seorang yang bernama Anwar Ibrahim kerana ia memimpin kesedaran kelas yang mengancam masa depan BN. 

Untuk menghapuskan watak ini tidak mustahil juga pada PRU 13 kita akan menyaksikan RPK, Nalakarupan dan Ummi Hafilda akan bergabung membalun Anwar. Dalam politik kawan adalah musuh yang paling berbahaya.
Sudah 13 tahun Anwar dipukul dan dibalun. Dihina supaya ia dibenci namun nampaknya watak ini tidak terjejas sedikitpun. Yang terakhir ialah konspirasi video lucah yang tidak begitu rapi perancangannya telah mendedahkan kejahatan mereka selama ini. 

Sanggupkah mereka menyembelih ketiga-tiga monyet video lucah itu sebagai langkah bermuka-muka terhadap rakyat dan apakah akan terjadi sekiranya ketiga-tiga monyet ini menyanyi mengikut musik kemudian melompat menggigit lengan tuannya sekiranya ia ingin disembelih seperti si toyol.

Anwar tidak akan mati dek keris pundek UMNO yang sebilah itu. Sudah 13 tahun dia dibalun bertalu-talu. Suaranya terus lantang dan matanya tetap tajam memaku wajah orang yang membuat tuduhan terhadapnya. Tidak henti-henti turun naik mahkamah tinggi dan rendah terutama apabila menjelang pilihanraya kecil. Pada 21 Februari 2011 hari dia dibicarakan Sodomi II dia dikatakan sempat pula melanggan seorang perempuan cina - dikatakan pelacur untuk melampiasi nafsu gilanya. Benarkah dia begitu rendah?   ( Di Petik dari Sini )








Apa kata Sakmongkol AK47 dan Aspan Alias yang keluar Umno masuk DAP ?


UMNO- Pelindung atau Pemusnah?  = Kata Sakmongkol  AK47

Agaknya, ini cara UMNO menggalakkan orang lompat? Bayar sana sini. Yang saya tahu itu dia cara Najib Razak operates- pays his way through. Dan seumpamanya. Jika benar, maka tidak perlu UMNO dan penyokong rasa cemas dan gusar. Mudahlah mengalahkan mereka berdua.

Kalau Aspan bertanding di Seremban, semua menteri berasal dari Nogori Sembilan akan hentam dia. Teruklah dia kena belasah. Saya pula, mana lah terdaya menentang Ng Yen Yen di Raub- dia ada billboard yang berharga RM 1.9 juta, ada website yang bernilai jutaan Ringgit juga. Dia menteri. Dia boleh buat hebohan yang rapi lagi mantap. Lain lah kalau saya bertanding di Triang. Tapi Leong Ngah Ngah has done a sterling job. Biar dia disana.

Dua orang tua ( muhyidin, Najib Razak dan ramai lagi pimpinan UMNO lebih tua dan ganyut) tidak menjadikan kudis pada UMNO. Aspan pula tidak hensem walaupun ada menteri UMNO kita pandang macam ada down-syndrome.


UMNO gagah dan perkasa walaupun pemimpin nya dari yang tertinggi ke yang tidak tinggi semua korap dan rasuah. Bukan saya yang kata- Dr Mahathir yang kata. Bukan saya kata- tapi Shahrizat yang kata. If I go down, the other clowns go down with me. Mana pemimpin UMNO yang tidak ada masaalah tanya Shahrizat?

Tidak ada orang misalnya membahaskan apa yang mungkin tidak kena dengan UMNO. UMNO maksum. Berjuang lah dari dalam. Yang bertanya ini ahli UMNO ke? Tahu kah system dalam UMNO has been designed to self perpetuate bukan self renew. Jangan percaya cakap pimpinan UMNO.

Najib boleh bercakap mengenai demokrasi penuh- orang lain boleh bergolak dan bertombak berlembing asal kedudukan nya jangan di kacau!. Dan saya bercakap dari pengalaman saya sendiri. Goga dan gegak gempita macam mana nun di bawah, asal kedudukan nya tidak terancam, biar lah.

Ceritalah misalnya, kenapa agenda Melayu yang di canangkan UMNO masih di takuk lama dan tidak bergerak? UMNO suruh orang Melayu kaku dan jangan berubah sedangkan berubah itulah punca kemajuan. UMNO tak ajar orang Melayu jadi fit supaya mereka boleh survive. Malah yang di tanam dalam benak orang Melayu ialah orang Melayu bergantung dan dependent pada UMNO. No need to change. Just depend on UMNO.

This is a stupid way to promote growth. Tapi cara demikianlah yang UMNO suka- lagi di sembah lagi suka. Najib sendiri pun gaya nya aristokratik. Dia suka kalau orang berduyun duyun menyambut nya di lapangan terbang, berduyun duyun pula mengiringi kunjungan nya ke Pekan.

Maklum sahaja lah, setelah puluhan tahun balik ke Pekan, dia masih tidak tahu jalan nya. Terpaksalah segala soldadu yang bersetia dan gegak gempita mengiringi sebutir bintang dan intan payung singgah ke Pekan. mudah mudahan dengan sentuhan majis nya, orang melayu Pekan akan bertukar menjadi Melayu yang terbaik di Malaysia. Saya dengki ke dia di perlakukan demikian? Who cares?

Agenda yang serupa takkanlah lama sangat UMNO hendak mencapai nya? Mustahil UMNO di pimpin oleh si bahlul dan tongong. Bahasa Melayu, agama Islam, kedudukan orang Melayu, institusi Raja Melayu. Semua ini di lindungi oleh undang undang dan perlembagaan Malaysia.

Siapa yang mengancam nya semua? UMNO kelentong orang Melayu mengapa? Kebenaran nya ialah, semua perkara ini sudah di terima. UMNO sahaja yang mempermainkan isu2 ini demi menutup kebobrokan dan pembohongan keatas orang Melayu. Perkara-perkara ini tidak di ancam oleh PAS, PKR atau DAP.

Oh- DAP. Itu parti Cina chauvinis. Anti Melayu. Anti Islam. Anti Raja Melayu. Ini gelaran Dato pada lahabau Ariff Sabri- tarik balik. DAP pun rakyat DYMM raja Melayu. Ariff Sabri pun rakyat setia pada DYMM Raja Melayu. Jangan lah respond macam budak budak. Tak setuju, gesa tarik balik gelaran.

Ambiga derhaka! tarik balik gelaran. Panggil dato atau tak panggil, doesn’t make any difference to me. Esok saya jaga dari tidor, saya tahu ramai yang ada gelaran Dato tetap juga bodoh macam dulu. Pendidikan yang saya ada, pengalaman saya, tetap berada dalam diri saya, Dato atau tidak Dato.

Apa agenda orang melayu yang patut? Agenda orang Melayu-

(1) pemimpin yang memimpin kerajaan terdiri dari yang terbaik.
(2) Urus tadbir yang baik. 
(3) Menentang rasuah. 
(4)Memajukan ekonomi orang Melayu dengan model ekonomi yang tulin. 
(5) kedaulatan undang2 atau rule of law.
Ini dia agenda Melayu dalam era baru. Bukan yang lapuk yang di mainkan sampai jemu kita mendengar nya.

Di mana silap UMNO? Ekonomi orang Melayu? Model nya- selagi menyokong UMNO, kedudukan ekonomi akan di perjuangkan. Masa depan politik Melayu?-bergantung kepada UMNO. Bahasa Melayu dan Islam?- bergantung kepada UMNO.

Jelas disini, orang Melayu tidak dapat maju kehadapan kerana kesemua nya bergantung kepada UMNO. UMNO simply doesn’t have a  model for the advancement of orang Melayu. It has only one answer- just depend on UMNO.

Hasil nya? Orang Melayu yang lemah mental tidak menyedari bahawa majority penyelesaian dalam hidup ini bergantung kepada kesedaran diri sendiri. Sebab itu, saya katakan sikap yang memusnahkan orang Melayu ialah- usah di tanya apa UMNO boleh lakukan kepada kamu, tanya apa kamu boleh lakukan kepada UMNO.

UMNO pelindung- orang Melayu di lindungi; UMNO adalah wadah yang mesti di puja dan di taati. Nak senang- sokong UMNO. Nak selamat? Sokong UMNO.
Kita ada jawapan lain.



Saya kenal sangat dengan UMNO dan nilai kepimpinannya, Kata Pula Aspan Alias

Saya ditanya oleh seorang dua rakan kenalan saya berhubung dengan spekulasi yang saya akan menyertai DAP setelah begitu lama di dalam UMNO. Pertanyaannya mudah saya fahami. Mereka bertanya adakah saya betul-betul telah mengenali DAP sehingga saya mengambil keputusan untuk keluar parti yang telah memerintah negara sebegitu lama. Saya mengenali sahabat-sahabat saya ini begitu lama dan saya tahu soalan mereka itu adalah soalan yang jujur terbit dari sanubari mereka.

Sebelum saya menjawab soalan mereka berdua ini saya sudah tahu yang mereka hanya memerlukan penjelasan yang jujur dari saya dan saya juga tahu jika saya bercakap benar dan jujur mereka tidak ada apa-apa halangan untuk saya menyertai DAP jika saya berkehendak. DAN selang 2 hari mereka telah memberitahu saya yang mereka akan memberikan sokongan kepada DAP dan Pakataan Rakyat dalam pilihanraya yang akan datang.

Soalannya itu sebenarnya soalan yang sangat mudah tetapi oleh kerana mereka berdua belum mendapat penjelasan saya sahaja yang mereka ada sedikit keraguan tentang isu saya bakal menjadi ahli DAP. Mereka bertanya bukan kerana mereka sebagai seorang politikus. Mereka merupakan sahabat saya selama lebih dari 45 tahun. Itu sebabnya mereka bertanya apakah saya benar-benar memahami DAP dan saya bersetuju untuk menyertainya.

Saya menjawab yang saya mungkin belum memahami DAP seratus peratus. Yang saya tahu DAP adalah parti halal dan pemimpin-pemimpin mereka serius dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap negara yang berbilang kaum ini. DAP mempunyai disiplin yang tinggi sebagai sebuah badan siasah dan rekod DAP memerintah P Pinang misalnya telah banyak membuktikan yang mereka benar-benar melaksanakan tanggungjawab dengan penuh ‘integrity’, mengikuti lunas undang-undang serta etika yang tinggi.

Mungkin itu sahaja yang saya faham tentang DAP. Tetapi saya menyatakan dengan jelas kepada sahabat-sahabat saya ini, yang saya memang tersangat kenal dengan UMNO. Oleh kerana saya terlalu mengenali UMNO itulah, saya mungkin mengambil keputusan untuk menyertai DAP seperti yang dihebohkan oleh media sekarang ini. Saya rasa tidak ada yang saya tidak kenal tentang UMNO ini kerana saya sudah menyertai UMNO ini selama 40 tahun lamanya.

Oleh kerana saya terlalu kenal dengan UMNO inilah yang membuatkan saya tidak lagi mampu mengawal kesabaran saya dan saya mungkin mengambil keputusan menyertai parti DAP dalam tempoh yang terdekat ini.

Saya tahu dan faham yang masalah yang di hadapi oleh UMNO ini merupakan masalah yang sudah begitu lama. Saya tidak bercadang menyebutnya dalam ‘article’ ini kerana kebanyakannya telah pun saya tulis sejak beberapa tahun yang lalu. Saya sudah berkeyakinan tinggi yang UMNO tidak mungkin berubah kerana sedang dikawal rapi oleh ‘war-lords’ di sekeliling pucuk pimpinannya.

UMNO sudah menjadi premis perniagaan bagi ‘war-lords’ dalam UMNO ini dan ia tidak mungkin berubah kerana pimpinannya pun mempunyai kepentingan yang sama seperti semua ‘warlords’ yang mempengaruhi UMNO ini. Maka UMNO telah terlalu ‘detached’ dengan ahli-ahlinya yang ramai itu.

Itu sebabnya saya selalu berkata yang ahli-ahli UMNO yang ramai-ramai ini hanyalah merupakan kuda-kuda tunggangan kepada ‘war-lords’ ini yang hampir dengan pucuk pimpinan UMNO sejak beberapa lama dahulu. Kepada penyokong-penyokong yang kononnya mempunyai semangat berkobar-kobar itu benar-benar memberikan kekuatan kepada ‘war- lords war-lords’ ini untuk terus memerah dan mengelirukan rakyat yang rata-rata telah diikat pemikiran mereka untuk mengakui yang UMNO itu adalah parti perjuangan orang Melayu.

Saya selama ini bersabar melihat keadaan ini dengan penuh harapan yang akhirnya UMNO akan berubah dan saya hanya duduk mendiamkan diri di rumah bersama cucu-cucu. Tetapi rupa-rupanya UMNO tidak juga berubah sedangkan rakyat memerlukan perubahan itu secepat yang mungkin untuk berlaku..tetapi bagaimana hendak membersihkannya? Bagaimana ‘mop’ yang terlalu kotor boleh membersihkan lantai yang kotor? Itu mustahil.

Walaupun saya belum mengenali seratus peratus tentang DAP, tetapi saya mengenali UMNO seratus peratus kerana saya telah menjadi ahli kedua-dua UMNO itu hampir 40 tahun.Kerana mengenali UMNO sebegitu lama lah, maka saya mengambil sikap untuk tidak bersamanya lagi.

Kedua orang sahabat yang bertanya itu telah mengakui yang saya mempunyai asas untuk menyebelahi DAP dan ianya merupakan satu tindakan saya yang boleh membuka minda kepada mana-mana orang Melayu yang bersedia untuk berfikir dan menjadikan DAP sebagai wadah perjuangan untuk membantu pencapaian matlamat yang ‘ultimate’, iaitu “national unity’.

Kita mesti berubah untuk menolak sentimen perkauman dan ‘racial chauvinism’ yang menebal di kalangan rakyat.

Rabu, 4 Januari 2012

Kenapa keputusan perbicaraan Anwar penting untuk setiap Rakyat Malaysia?

Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan menyampaikan penghakimannya dalam perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Sri Anwar Ibrahim.  Keseluruhan prosiding telah dikutuk dengan meluasnya sebagai perbicaraan bermotif politik, yang seringkali digunakan rejim-rejim kuku besi untuk menghancurkan musuh-musuh politik mereka.  


Tetapi Anwar memiliki rekod panjang untuk tidak semudahnya menyerah kalah.  Beliau telah mengisytiharkan bahawa apa jua keputusan pada 9 Januari ini, beliau tidak akan menyerah.  Sebelum ini penjara tidak dapat mematahkan atau mendiamkan suara Anwar, semestinya juga tidak sekarang.

Tetapi apa yang dipertaruhkan di sini lebih daripada sekadar kebebasan peribadi pemimpin pembangkang.  


54 tahun yang lalu, rakyat negara ini telah dijanjikan bahawa tanah air mereka yang baru merdeka akan bebas dan demokratik; dan hasrat rakyat itu telah diungkapkan dalam perundangan tertinggi negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan.  


Janji ini telah dengan sengaja dimungkir oleh gabungan politik yang memerintah negara ini sejak hari tersebut sampailah ke hari ini.

Badan kehakiman yang bakal memutuskan penghakiman ke atas Anwar Ibrahim pada 9 Januari, gagal untuk menegakkan kebebasan asasi yang terkandung dalam Perlembagaan dan membenarkan pihak Eksekutif untuk menginjak-injak hak-hak asas Rakyat.  


Oleh yang demikian, lebih setengah abad, rakyat telah menderita akibat undang-undang menindas, rasuah berleluasa dan penyalahgunaan amanah jawatan awam untuk keuntungan dan memperkayakan diri sendiri.  


Rakyat ialah pemilik tanah air ini yang sebenar-benarnya.  Namun rakyat hanya menjadi peminta belas ehsan di pintu Putrajaya, di mana para pemimpin UMNO-BN dan mereka yang bergantung kepada kuasanya memerintah rakyat.

Lawan kepada rejim UMNO adalah pakatan pembangkang yang diterajui Anwar, yang mana paksi tujuannya untuk memansuhkan kesemua perundangan menindas dan anti-demokratik serta mengembalikan kebebasan berperlembagaan kepada rakyat; untuk menamatkan kerugian besar-besaran akibat rasuah; dan untuk memastikan agihan kekayaan negara yang saksama dan adil.  


Kini UMNO cuba untuk menghalang perjalanan hebat rakyat Malaysia ke arah kebebasan dengan cuba membunuh secara politik Anwar Ibrahim melalui sistem pengadilan yang berat sebelah dan mudah dipengaruhi.

Inilah sebabnya kenapa 9 Januari begitu amat penting untuk setiap rakyat Malaysia.  Pendirian Anwar untuk tidak tunduk terhadap suatu sistem yang zalim, memberikan kekuatan dan harapan baru kepada rakyat dalam menghadapi kekuasaan penindas yang zalim itu, malahan mengukuhkan keyakinan rakyat untuk menuntut perubahan dan reformasi.  


Justeru, iannya merupakan saat-saat kemuncak dalam pertempuran untuk jenis negara dalam mana ingin kita hidup, serta jenis nilai-nilai yang kita mahu wariskan kepada generasi Malaysia akan datang.  Apapun jua keputusannya pada 9 Januari ini, kita dapat mengambil hikmat bahawa tidak lama lagi akan tiba pula giliran Rakyat untuk menyampaikan penghakiman terhadap kerajaan zalim dan menganiaya ini. 
 ( Di Petik dari sini )