Isnin, 17 Mei 2010

Apakah ada pengajaran di sebalik kekalahan PRK P.Sibu ?

Pada 26 Apr 2010 saya ada menulis berkaitan trend sokongan pengundi masyarakat Cina dan kehendak mereka didalam arena politik Malaysia bertajuk Apakah yang diinginkan oleh masyarakat Cina ?.

Kini setelah keputusan PRK Parlimen Sibu memihak kepada DAP, iaitu rakan kongsi didalam Pakatan Rakyat, maka sekali lagi persoalan ini akan menjadi tanda tanya bagi para pemimpin Barisan Nasional.

Sekali lagi para pencatur penting didalam hiraki kepimpinan BN akan kebingungan, masakan tidak, setelah berjuta-juta peruntukan projek di janjikan, namun terbukti bagi masyarakat Cina, semua itu gagal mempengaruhi mereka untuk memberikan undi kepada calon BN.

Begitulah nilai dan keinginan masyarakat Cina yang sukar difahami oleh mereka-mereka yang sengaja menutup mata dan hati mereka terhadap perkembangan kehendak rakyat yang sudah tentu berlainan dengan kepentingan mereka.

Bagi pemimpin BN, mereka memikirkan bahawa dengan menyogokkan kewangan kepada pengundi, maka para pengundi akan berbondong-berbondong mengundi mereka, rupa-rupanya pemikiran seperti itu sudah tidak relevan lagi bagi sebahagian masyarakat yang sudah stabil pendapatan mereka.

Benar, bagi masyarakat yang masih bergantung ekhsannya kepada kerajaan untuk membangunkan hidup mereka, umpan ini memang menjadi, tetapi percayalah umpan seperti ini disatu masa nanti juga akan ditolak oleh rakyat terbanyak.

Oleh itu, dimasa hadapan nanti, mana-mana parti yang boleh memenuhi kehendak rakyat pasti akan disokong oleh rakyat, persoalannya, ada pemimpin yang sengaja tidak mahu menerima hakikat tentang apakah kehendak rakyat tersebut, walaupun sebenarnya mereka tahu apakah kehendak rakyat itu.

Bagi mereka, memenuhi kehendak rakyat adalah bermaksud membunuh karier politik mereka sendiri, jika inilah corak pemikiran para pemimpin BN sekarang ini, apakah yang boleh kita lakukan lagi.....................









Tiada ulasan: