Jumaat, 31 Julai 2009

Satu lagi pilihanraya kecil yang tidak dapat di elakkan

PULAU PINANG 31 Julai — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang, Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman, 63, daripada PAS meninggal dunia kerana sakit jantung di Institut Jantung Negara Kuala Lumpur pagi ini.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Salleh Man berkata, Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pagi ini selepas beberapa hari menjalani rawatan di institut itu.

Ketika dihubungi Bernama di sini, beliau berkata, jenazah Mohd. Hamdan dijangka tiba di rumahnya di Permatang Pasir pukul 2 petang ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir di sini selepas solat Asar.

Bekas Pesuruhjaya PAS Negeri selama 14 tahun itu menjadi ADUN Permatang Pasir selama tiga penggal mulai tahun 1999 sehingga sekarang, dan kini merupakan satu-satunya ADUN Pas di negeri ini.

DUN Permatang Pasir terletak di kawasan Parlimen Permatang pauh.

Menurut adik lelakinya, Mohd Shukran, Allahyarham yang meninggalkan seorang balu, Datin Siti Khariah Ismail dan enam orang anak, menghembuskan nafas terakhirnya pada kira-kira pukul 7.15 pagi ini di IJN.

Katanya, beliau mendapat berita mengenai kematian abang sulung daripada 14 adik-beradik itu pada kira-kira pukul 7.15 pagi ini.

“Abang saya itu mengadu penat dan sakit dada dan dibawa oleh anaknya ke IJN untuk pemeriksaan dan rawatan. Beberapa tahun lalu, beliau pernah menjalani pembedahan jantung,” katanya.

Menurutnya, isteri Allahyarham tidak menemani suaminya itu di IJN kerana tidak sihat.

- BERNAMA

Tiada ulasan: