Jumaat, 6 November 2009

Hadi umpama 'Pak Lah versi PAS

Kepemimpinan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dianggap sangat lesu sehingga beliau boleh diumpamakan "Pak Lah versi PAS", kata ahli akademik Prof Dr Abdul Aziz Bari hari ini.

Tun Abdullah Ahmad Badawi dianggap seorang pemimpin lemah, tidak tegas, lembab dalam pelaksanaan dasar dan dipersalahkan atas kemerosotan teruk BN sehingga dipaksa melepaskan jawatan presiden Umno dan perdana menteri.

Dr Abdul Aziz berkata, kekalahan bertubi-tubi PAS di Terengganu – negeri Abdul Hadi sendiri – pada pilihan raya umum 2004, selepas menawannya pada 1999, dan tahun lepas serta kemerosotan dalam beberapa pilihan raya kecil menyebabkan beliau meyakini bahawa kritikan tersebut mempunyai asas.

"Kemudian di Bagan Pinang, maaflah, sudah banyak sangat (kalah). Kali ini mungkin betul, bila sudah ada orang sebut, kita ada versi Pak Lah dalam PAS sendiri," katanya.

"Dan memang, kalau tengok kenyataan dia (Abdul Hadi), sama ada yang terbaru ini atau beberapa bulan ini, sudah jelas. Maksudnya, kenyataan tentang UG (kerajaan perpaduan) itu, bukan macam orang politik."

Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu menambah, oleh itu Abdul Hadi dianggap "beban" parti itu untuk terus mengembangkan pengaruhnya dan memainkan peranan lebih besar dalam “politik baru” Pakatan Rakyat.

"Kita tidak peduli sama ada kumpulan dia (Abdul Hadi) masih bercinta dengan Umno. Itu kita tidak peduli. Tetapi bagi saya, dalam politik, tidak ada peluang kedua.

"Kamu sudah buat, (kemudian) gagal, keluar (berundur). Hendak bertengkar tentang dia jumpa lagi (dengan Umno atau) tidak, imej itu sudah terpalit kepada dia dan kumpulan dia, terutamanya (timbalan presiden) Nasharuddin (Mat Isa)," tambahnya.

'Sudah hilang stim'

Dr Abdul Aziz juga berkata, walaupun pada 1980-an dan 1990-an tokoh agama itu berpengaruh luas khususnya melalui pidato tetapi kini presiden PAS itu kini "sudah hilang stim".

"Dia sudang hilang stim. Sebahagian daripada tindak-tanduknya tidak datang daripada dia atau cuma disuap dalam mulutnya. Contoh yang paling jelas, (idea) kerajaan perpaduan," katanya.

"Tengok, atau kita banding dengan apa yang dibuat sekitar tahun 1980-an dengan amanatnya (petikan ucapan yang dilabel 'Amanat Hadi'). Ini secara efektifnya mengkafirkan Umno. Sekarang kenapa hendak bekerjasama dengan Umno?"

Dalam wawancara dengan Malaysiakini hari ini, pakar undang-undang perlembagaan itu mendakwa, kegagalan Abdul Hadi bertindak sebagai "tokoh nombor satu" diburukkan lagi oleh peranan pemimpin lain seperti Nasharuddin dan setiausaha agung Datuk Mustafa Ali.

Diminta mengulas sejak bila tokoh PAS itu "hilang stim", Dr Abdul Aziz berkata: "Sebelum (era) reformasi (1998) dia tidak ada peranan yang penting, (sebagai) naib presiden saja atau timbalan presiden.

"Jadi, saya rasa, masalah atau isunya sekarang ini dia seorang timbalan yang bagus. Itu yang selalu disebutkan. Dan itu saya setuju.

"Kalau dia (pada jawatan) nombor dua, dia seorang yang setia dan dapat melaksanakan apa yang disuruh. Tetapi kalau letak dia (sebagai) kapten, setakat ini memang jelas tidak dapat.

"(Keadaan) itu menjelaskan kenapa dia tidak dapat membalas serangan terhadap 'Amanat Hadi' itu. Jadi, serangan itu sudah bersifat politik dan dia sudah tidak dapat main lagi."

Beliau juga mendakwa, Abdul Hadi tidak lagi mempunyai ciri seorang pemimpin dalam senario politik baru, hubungan awamnya pula tidak baik dan gagal berfungsi sebagai ideolog atau peneraju utama yang menjelaskan wawasan parti seperti "PAS untuk semua" dan "negara berkebajikan".

Abdul Hadi masih lagi berlegar di sekitar isu Melayu-Islam semata-mata seperti isu yang dijuarai parti itu sejak dulu, tambahnya.

'Ciuman maut'

Dr Abdul Aziz, yang kini semakin lantang mendesak pengunduran Abdul Hadi, diundang membentangkan analisis kemerosotan PAS dalam seminar politik parti itu di Gombak, esok.

Seminar sehari itu, yang dijangka melibatkan 1,000 pemimpin atasan dan akar umbi PAS, dianjurkan susulan desakan untuk mengadakan muktamar khas bagi membincangkan "beberapa pemimpin bermasalah".

Ditemui di pejabatnya di kampus Gombak pagi ini, Dr Aziz berkata kelemahan Abdul Hadi, yang juga ahli parlimen Marang, sudah diketahui oleh barisan pemimpin PAS tetapi tiada siapa yang berani menegurnya secara terbuka.

"Semua orang tahu (kelemahan ini), tetapi siapa berani cakap dalam parti yang tema wala'-nya (kesetiaannya) cukup kuat," katanya.

Mengulas isu kerajaan perpaduan, Dr Abdul Aziz menyifatkan ia sebagai "ciuman maut" dan perangkap musuh politiknya Umno untuk terus mengkucar-kacirkan parti Islam itu.

"Kalau yang berunding itu (penasihat PKR, Datuk Seri) Anwar Ibrahim, (mursyidul am, Datuk) Nik Aziz (Nik Mat) atau (tokoh popular DAP) Lim Kit Siang, tidak ada masalah.

"Tetapi kalau dia dengan Nasharuddin ataupun yang lain-lain, (mereka ini) akan dilipat, diduduk oleh Umno (kerana kelemahannya)," katanya.


Untuk pengetahuan semua, dibawah ini disiarkan pula ulasan Ketua Pemuda PAS terhadap semua dakwaan Dr Aziz Bari seperti mana diatas....

1. Dr. Abd Aziz Bari semakin menyeringai dengan menunjuk taring dan belangnya hari ini melewati satu wawancara ekslusif beliau bersama malaysiakini .
2. Semakin lantang dan celupar kenyataannya . Tidak keterlaluan jika saya kata beliau semakin biadab [ tiada adab ] menyerang pemimpin PAS tanpa sabar lagi untuk menunggu hari esok .

3. Sedang esok beliau telah diundang oleh PAS untuk memberi pandangan dan kritikan beliau . Biarpun pedas dan keras , namun atas keterbukaan sikap Presiden PAS dan seluruh pimpinannya , Dr Aziz Bari diundang sebagai tetamu dan panel dalam Seminar Politik yang akan berlangsung esok .

4. Beliau boleh menunggu hari esok untuk melontarkan idea dan kritikan kepada PAS dan pimpinannya . Tapi beliau seperti mempunyai agenda tersembunyi , apabila secara konsisten memilih media umum untuk menghentam dan membidas serta melemparkan fitnah dan tuduhan tanpa bukti kepada pimpinan PAS .

5. Sebagai tokoh akademi , beliau sewajarnya kaya dengan adab dan tatacara dalam mengkritik dan membuat tuduhan . Bukan sewenang - wenangnya melemparkan tuduhan tanpa lampiran bukti yang kukuh . PAS telah membuka medan atau saluran yang betul buat beliau mengkritik [ dengan mengundang beliau sebagai panel ke Seminar Politik PAS ] , tetapi kelihatan beliau gagal memahami kedudukan itu dengan mengambil sikap terus menerus mengasak dan menyerang pimpinan PAS di khalayak ramai .

6. Lagaknya seperti mata lembing musuh untuk terus menikam pimpinan PAS yang tidak digemarinya malah juga tidak keterlaluan kalau saya pula mengatakan beliau adalah agen UMNO sebagaimana beliau menuduh Presiden PAS dan timbalannya sebagai pro UMNO .

7. Apakah Dr Aziz Bari bimbang untuk berhadapan dengan ahli - ahli PAS dalam Seminar Politik esok sehingga memaksa beliau membuat kenyataan demi kenyataan menyerang Presiden PAS di luar medan yang disediakan ? Tiadakah kesabaran beliau untuk menunggu awal pagi esok ? Atau sememangnya beliau merancang untuk terlebih dahulu mempengaruhi peserta seminar dan masyarakat umum ?

8. Saya kini tidak lagi melihat kritikan beliau terhadap pimpinan PAS sebagai datang dari seorang tokoh akademik yang ikhlas dan tulus , tetapi ia adalah kritikan yang datang dari seorang agen musuh untuk menggulingkan Presiden PAS dan mahu melihat PAS terus bergolak . Beliau sangat seronok melihat PAS berkrisis hasil kritikan dan tohmahan yang dilontarkan .

9. Sebelumnya saya tidak ambil kisah kenyataan - kenyataan beliau . Saya berlapang dada . Saya kira ini adalah pandangan dari luar kotak yang perlu diberi perhatian oleh pimpinan . Alhamdulillah , perhatian telah diberikan oleh pimpinan PAS terhadap tulisan - tulisan beliau dan akhirnya membawa kepada Seminar Politik . Lebih menarik , beliau jua antara panel yang diundang oleh PAS untuk memberi kritikan melalui medan dan saluran yang disediakan . PAS , pimpinan dan seluruh ahlinya sedia mendengar dan bermuhasabah .

10. Tetapi beliau masih tidak berpuas hati . Pimpinan PAS terus diserang dan ditohmah . Beliau bercakap soal disiplin dan karisma kepimpinan tetapi saya lihat beliau sendiri jelas tidak memiliki disiplin dan jauh sekali dari memiliki karisma . Ramai orang tertanya - tanya , apa sebenarnya yang beliau mahu ?

11. Melihat kepada reaksi brutal beliau menyerang tanpa henti , mudah sahaja jawapannya ialah beliau mahu menjatuhkan Presiden PAS dan beberapa pimpinan yang lain serta mahu supaya PAS terus bergolak . Akhirnya beliau [ Dr. Aziz Bari ] dan puak - puaknya mendapat advantage dari kekeruhan yang diciptanya .

12. Jawapan ini saya kemukakan kerana jelas apa yang diinginkan oleh Dr Aziz Bari bukan penyelesaian kerana pelan penyelesaian telah dibuat dan medan perbahasan telah dibuka dengan penganjuran seminar ini . tapi beliau menunjuk rasa tidak puas hatinya dengan terus melanyak pimpinan PAS . Ertinya beliau bukan inginkan kedamaian dan penyelesaian tetapi apa yang beliau mahu ialah menyingkirkan Presiden PAS dan beberapa orang pimpinan PAS yang lain bagi memuaskan hatinya dan hati puak - puaknya .

13. Dr. Aziz Bari dan kumpulannya kelihatan terancang dan teliti dalam mengatur plot untuk menjatuhkan presiden PAS . Tulisan dan kenyataan beliau terutamanya hari ini bukan lagi bersifat teguran dan kritikan tetapi serangan dan tohmahan untuk menjatuhkan Presiden PAS dengan memberi pelbagai label . Saya berdoa kepada Allah swt semoga Allah memelihara jamaah Islam ini dan menggagalkan perancangan Dr Aziz Bari dan kumpulannya .

14. Saya menyesal kerana hampir - hampir mempercayai beliau dan menghormati seluruh tulisan beliau . Ternyata saya silap dan beliau tidak ikhlas sebagaimana yang disangka . Apa salahnya beliau menunggu esok yang tidak berapa jam sahaja lagi untuk memberi teguran direct kepada seluruh pimpinan PAS dari segenap peringkat yang hadhir berseminar nanti . Kenapa setelah dibuka ruang dan diberi peluang kepada beliau dengan penuh hormat dan penuh dengan sikap keterbukaan pimpinan PAS , beliau masih tidak menghormatinya sebaliknya memilih untuk terus menghentam pimpinan PAS di media umum ?

15. Menurut rekod daftar ahli PAS sekarang dan pengakuan beliau sendiri , beliau bukanlah ahli PAS dengan maksud beliau memang bertindak sebagai orang luar dari PAS . Realiti itu tiada masaalah bagi saya . Boleh sahaja sesiapa pun mengkritik PAS dan pimpinan PAS mestilah peka dengan kritikan tersebut . Tetapi apabila kritikan itu bernada tuduhan dan tohmahan , beliau mestilah tampil dengan hujjah dan bukti yang kukuh . Malangnya beliau menulis tanpa sebarang bukti kukuh malah menampilkan fakta yang salah .

16. Pun begitu saya masih menaruh harapan agar esok , Dr Aziz Bari dapat hadhir dan kemukakan hujjah serta bukti - bukti kukuh beliau . PAS telah sediakan medan yang telus dan tulus buat beliau .

17. Kelak , jika tiada bukti yang meyakinkan terhadap segala tuduhan dan tohmahan maka selesailah sebuah kemelut ciptaan Dr Aziz Bari dan puak - puak yang mendokongnya dan harapan saya selepas itu , pimpinan dan ahli PAS tidak perlu lagi terseret dalam kancah yang sengaja di creat oleh agen - agen musuh untuk terus melihat PAS retak dan lemah .

18. Sebaliknya , jika Dr Aziz Bari berjaya mengemukakan bukti yang jelas atas setiap pertuduhan yang dilemparkan , PAS janganlah teragak - agak untuk mengambil tindakan ke atas siapa jua yang menggadai prisip perjuangan dan polisi parti .

19. Akhirnya saya menyeru agar semua sahabat seperjuangan agar tidak mudah untuk terpengaruh dengan propaganda musuh yang mahu melihat parti terus bergolak . Kerana apabila PAS teguh dan bersatu , maka pastinya akan menyusahkan mereka untuk melaksanakan agenda - agenda jahat menghancurkan perjuangan Islam ini .

20. Marilah kita cantumkan semula pecahan - pecahan hati dan rasa dikalangan kita , agar kita kembali bertaut dengan semangat ukhuwwah fillah . Biarlah orang lain bercakap , mengkritik , menuduh dan menabur fitnah sementara kita terus utuh memberikan komitmen yang tinggi terhadap perjuangan . Melaksanakan tanggungjawab dan tugas yang masih terbengkalai kerana asyik dan hanyut dalam arus pergolakan yang dicipta oleh agen musuh .









Tiada ulasan: