Isnin, 14 September 2009

Usahlah terlalu kecewa




Pandangan Dr M tepat: begitulah ulasan Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pas Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi ketika diminta mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa tidak mustahil UMNO dan BN akan tumbang sebagaimana parti LDP di Jepun, selepas lebih 50 tahun parti berkenaan memerintah di negara matahari terbit itu jika para pemimpin BN masih tidak mahu membuat perubahan.

Sebenarnya didalam keadaan apa yang dihadapi sekarang ini oleh Barisan Nasional, memang mudah bagi sesiapa sahaja untuk membuat rumusan seperti yang diperkatakan oleh Dr Syed Azman itu.

Sementelahan pula setiap kali Pilihan Raya kecil yang diadakan mutakhir ini, BN sering kecundang, malah yang lebih memeranjatkan ialah BN juga boleh tumbang di kerusi yang dimilikinya sendiri seperti di Parlimen Kuala Trengganu.

Namun begitu pembangkang sebenarnya tidak boleh terlalu bergembira dan begitu yakin dengan perubahan sikap para pengundi sekarang ini, ini adalah kerana para pengundi juga sedang menilai akan keupayaan para pemimpin Pakatan Rakyat didalam mengendalikan pemerintahan dinegeri yang mereka kuasai.

Sikap sesetengah wakil rakyat PR terutama dari PKR dan DAP yang mudah berubah hati dan melompat ke BN juga menyebabkan sesetengah pengundi merasa begitu kecewa, tidak mustahil jika perkara ini tidak dibendung segera akan menyebabkan para pengundi yang mengundi PR didalam PRU12 dahulu akan kembali menyokong BN.

Satu perkara yang paling penting yang juga sedang diperhatikan oleh para pengundi terutama pengundi muda ialah keupayaan komponen PR untuk merialisasikan penyatuan yang benar-benar konkrit sehingga berupaya menggunakan satu lambang sebagaimana yang dilakukan olah komponen yang berada di bawah payung BN.

Berdasarkan pengalaman yang dilalui oleh parti-parti yang pernah memerintah negara dan tumbang kepada parti gabungan pembangkang seperti di Indonesia, India dan lain-lain, mereka boleh bangkit kembali setelah melalui proses-proses pembersihan didalam parti dan akhirnya bekas parti pemerintah tersebut boleh menggugat kembali parti yang sedang memerintah.

Oleh itu kepada para penyokong Barisan Nasional, anda usahlah terlalu gundah gulana diatas kekalahan demi kekalahn yang parti anda alami, kerana ini adalah proses biasa yang dihadapi oleh parti-parti yang terlalu lama memerintah.

Yang paling penting ialah para pemimpin anda dapat menahan nafsu serakah mereka dari membolot kekayaan secara tidak normal, jika pemimpin anda berjaya mengawal nafsu mereka, InsyaAllah parti anda akan kembali diberikan sokongan sebagaimana yang diterima oleh parti-parti bekas pemerintah seperti yang disebutkan diatas.

Kepada para politikus semua, bergembiralah anda didalam menghadapi pilihanraya kecil di Bagan Pinang nanti, satu pesta politik yang sentiasa ditunggu-tunggu kehadirannya oleh peminat politik ..............................( saya minat memancing je )






Tiada ulasan: