Rabu, 1 April 2015

HUDUD didalam MASYARAKAT MAJMUK seperti MALAYSIA

Oleh Sheikh Akhtar Al-Khawarizmi

Sebagai umat Islam kita sememangnya wajib patuh kepada ajaran Al-Quran dan Hadis. Umat Islam wajib menerima Hudud dari segi prinsip

Di dalam Al-Quran dan Hadis, ayat-ayat mengenai Hudud dengan jelas menggambarkan bentuk hukuman untuk kesalahan seperti merompak (Al-Maidah ayat 33), mencuri (Al-Maidah ayat 38), zina oleh seseorang yang sudah berkahwin (An-Nur ayat 2), zina oleh seseorang yang belum berkahwin (Hadis Muslim Kitab ke-17), tuduhan qazaf (An-Nur ayat 4), meminum arak (Hadis Muslim).

Kita menerima dalil-dalil ini sebagai undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Objektif utama segala undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. adalah untuk menegakkan keadilan.

Oleh demikian Hudud perlulah dilaksanakan mengikut Al-Qur’an secara keseluruhan, termasuklah diaplikasikan kepada yang bukan Islam bagi mengelakkan ketidak-adilan berlaku dalam menjatuhkan hukuman.

Memang tidak dapat dinafikan pentingnya kita menghayati hukum-hukum Allah seperti yang termaktub di dalam Al-Quran dan Hadis. Akan tetapi, adalah lebih mustahak bagi kita memahami dalil-dalil al-Quran dan Hadis secara holistik; iaitu dengan mengkaji dalil-dalil tersebut berdasarkan konteks yang lebih besar iaitu keadilan yang ditekankan Islam.

Islam sangat memberi penekanan kepada keadilan dalam menjatuhkan hukuman seperti yang dinyatakan dengan jelas dalam dalil-dalil berikut; Surah Al-Maidah ayat 42; ”dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

Surah An-Nisa ayat 58; ”Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil”.

Surah An- Nisa ayat 58 menggunakan istilah “manusia” yang bermaksud semua orang; orang Islam dan bukan Islam. Ada orang yang mengatakan bahawa adalah adil untuk melaksanakan Hudud ke atas umat Islam sahaja kerana mereka wajib beramal dengan ajaran al-Quran.

Walau bagaimanapun, ayat ini secara khusus menggunakan istilah “manusia” dan bukannya “golongan beriman” (istilah yang biasa digunakan dalam al-Quran untuk merujuk kepada orang Islam). Ini bermakna kita perlu berlaku adil dalam menghukum umat manusia sekaligus ayat ini menyanggah tanggapan bahawa Hudud perlu dilaksanakan untuk orang Islam sahaja.

Selain daripada dua dalil di atas yang jelas menekankan keadilan dalam menghukum, terdapat 43 ayat dalam Al-Quran yang memberi penekanan kepada prinsip keadilan, yang menggambarkan betapa pentingnya prinsip ini di sisi Islam.

Merujuk kepada kes yang ditangani Rasullullah S.A.W Pada zaman pemerintahan Rasulullah SAW di Madinah, beliau pernah menjatuhkan hukuman rejam kepada satu pasangan Yahudi yang terlibat dalam zina (hubungan seks di luar pernikahan).

Ini menunjukkan bahawa dalam melaksanakan Hudud, Rasulullah SAW tidak memlilih hanya untuk melaksanakannya pada Islam sahaja, tetapi ianya hendaklah dilaksanakan kepada semua ahli masyarakat.

Mungkin ada yang berpendapat bahawa Rasulullah SAW menghukum pasangan Yahudi tersebut berdasarkan undang-undang Hudud kerana cara hukuman bagi zina yang ditetapkan dalam Taurat adalah sama seperti Hudud.

Walau bagaimanapun, dalam hal ini, Rasulullah SAW tidak melanggar prinsip keadilan kerana orang-orang Yahudi dan umat Islam tertakluk kepada hukuman yang sama bagi kesalahan yang sama. Pada hari ini, kita dapat melihat negara-negara yang melaksanakan Hudud seperti Pakistan, Arab Saudi, Iran dan Brunei menguatkuasakan Hudud sebagai undang-undang menyeluruh terhadap semua rakyat mereka.

Bukti-bukti yang ada jelas mewajibkan kerajaan mana-mana negara memastikan undang-undang dan hukuman yang dilaksanakan ke atas pesalah, adalah sama tanpa mengira agama, tidak kiralah sama ada undang-undang yang digunapakai adalah Hudud ataupun undang-undang sivil.

Oleh kerana kerajaan tidak boleh mengenakan hukuman Hudud ke atas penduduk bukan Islam yang merangkumi hampir separuh daripada keseluruhan penduduk Malaysia, kerajaan telah memilih untuk melaksanakan undang-undang sivil, yang secara dasarnya sudahpun meliputi kebanyakan aspek asas undang-undang Syariah termasuklah Takzir dan Qisas. Malah ia juga mempunyai tujuan yang sama iaitu memastikan keadilan ditegakkan.

DAP, Gerakan dan MCA dengan keras membantah perlaksanaan Hudud di Kelantan adalah kerana mereka tahu ianya hanya titik permulaan bagi undang-undang ini berkembang sehingga ke peringkat persekutuan suatu hari nanti.

Berikutan tindakan Kerajaan Kelantan itu, Kerajaan Negeri Terengganu juga telahpun menyatakan hasrat untuk melaksanakan Hudud. Melihat kepada situasi hari ini, ada kemungkinan hukum Hudud akan dikenakan ke atas orang bukan Islam memandangkan kita hanya menunggu masa sebelum kita mampu mengambil langkah seterusnya untuk ‘memperbetulkan’ keadaan di mana hudud perlu dilaksanakan secara adil pada masa hadapan.

Ini adalah kerana kita perlu sedar bahawa undang-undang yang dijatuhkan secara terpilih bukan sahaja bertentangan dengan prinsip keadilan yang dibawa Islam, tetapi juga bercanggah dengan amalan sebenar Nabi Muhammad SAW dalam kerajaan Islam di Madinah. Islam membenarkan hukuman alternatif bergantung kepada keadaan.

Surah An-Nisa, Ayat 92 “Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (wajiblah ia membayar kaffarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar “diah” (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya).

Tetapi jika ia (yang terbunuh dengan tidak sengaja) dari kaum (kafir) yang memusuhi kamu, sedang ia sendiri beriman, maka (wajiblah si pembunuh membayar kaffarah sahaja dengan) memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dan jika ia (orang yang terbunuh dengan tidak sengaja itu) dari kaum (kafir) yang ada ikatan perjanjian setia di antara kamu dengan mereka, maka wajiblah membayar “diah” (denda ganti nyawa) kepada keluarganya serta memerdekakan seorang hamba yang beriman.

Dalam pada itu, sesiapa yang tidak dapat (mencari hamba yang akan dimerdekakannya), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut; (hukum yang tersebut) datangnya dari Allah untuk menerima taubat (membersihkan diri kamu). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Ayat tersebut menerangkan tentang konsep hukuman dalam Islam. Bunuh di balas bunuh memang adil tetapi pembunuhan seorang mukmin tidak perlu dihukum dengan kematian di bawah keadaan tertentu (iaitu di mana kesilapan telah dilakukan, atau dalam peperangan, atau apabila terdapat perjanjian persahabatan).

Adalah mencukupi dengan membebaskan seorang “hamba” yang beriman dan / atau membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa, atau sekiranya ini adalah di luar kemampuan pesalah, maka berpuasalah dua bulan berturut-turut.

Melihat kepada sejarah, Islam sememangnya membolehkan jalan penyelesaian yang melibatkan kompromi antara orang Islam dengan orang bukan Islam bagi memastikan kedua-dua belah pihak dapat hidup bersama dalam keadaan aman.

Jikalau kita lihat Perjanjian Hudaybiyyah yang dipersetujui oleh Rasullullah SAW dan kaum Quraisy pada masa dahulu, ianya tidak sepenuhnya memihak kepada umat Islam pada awalnya. Namun begitu, Nabi Muhammad SAW menerima perjanjian tersebut kerana beliau memikirkan tentang faedah jangka panjang yang akan dinikmati oleh masyarakat secara keseluruhannya.

Jika kedua-dua belah pihak, iaitu orang Islam dan bukan Islam di Malaysia boleh menerima jalan penyelesaian dimana undang-undang sivil semasa diterima sebagai sebuah sistem yang dapat memastikan keamanan dan keadilan dalam masyarakat, ini adalah perkara yang lebih bertepatan dan dituntut dalam Islam.

Di Malaysia sekarang ini, Pas sebagai sebuah parti politik yang menjadikan agama sebagai asas perjuangan telah memasukan hukum hudud sebagai matlamat perjuangan mereka, didalam keadaan pencapaian kemenangan yang kecil di Parlimen, sudah tentulah hasrat mereka itu tidak boleh di laksanakan.

Tetapi mereka tetap juga berjuang mahu hudud di laksanakan walau apa cara sekali pun sehingga menerima tentangan dari lain-lain parti yang majoritinya adalah dari bukan Islam seperti DAP, MCA, GERAKAN dan parti-parti lain dari Sabah dan Serawak.

Hasrat Pas yang tidak mengambil kira akan keutamaan di dalam sesebuah negara iaitu KEAMANAN dan KESETABILAN ini sebetulnya adalah bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri di mana di dalam Al-Qur'an, ada menyebut " Dan jangan sesekali kamu mencampakkan diri kamu kedalam kebinasaan '.  Maksudnya jika di dalam perancangan kita mahu membuat sesuatu itu ada halangan sehingga boleh memudharatkan keselamatan, adalah lebih baik perkara itu di tangguhkan.

Tambahan pula hukum hudud yang mahu di bawa oleh kerajaan Kelantan itu cuma di kenakan kepada orang Islam sahaja yang sudah tentu tidak menepati hukum Islam sebenar, lagilah tidak berbaloinya jika di bandingkan dengan apa yang sepatutnya di utamakan di dalam menangani persekitaran politik Malaysia.

Tiada ulasan: