Rabu, 1 April 2015

TERIMA KASIH HJ.HADI......kata Najib.

Menurut Setiausaha Agung Umno Teuku Adnan Teuku Mansor, Najib Razak akan menyatakan pendirian berhubung Hudud Kelantan dalam masa terdekat. Sehingga kini Najib tidak menyatakan apa-apa pendiriannya walaupun urusan kenduri kendara anaknya sudah beres.

Jadi kenyataan umumnya sebelum ini di Kedah berbunyi "no hudud in Malaysia" boleh diterima pakai. Ertinya Najib tidak bersedia untuk bersekongkol dengan Pas yang bercadang untuk membawa RUU persendiri di parlimen.

Apabila Najib mendiamkan diri, maka Speaker Dewan Rakyat bolehlah meletakkan notis ahli Parlimen Marang untuk mengemukakan usul persendirian dalam fail yang ditanda dengan perkataan "Perkara-perkara yang tidak perlu disegerakan."

Lagipun untuk apa Najib bangun menyatakan sikap mengenai langkah kerajaan Kelantan itu. Semua 12 wakil Umno di DUN Kelantan sudah bersetuju dengan pindaan Hudud yang dilakukan baru-baru ini. Umno Kelantan sudah berjaya membaiki persepsi diri mereka di mata rakyat Kelantan.

Umno kini tidak lagi dituduh sebagai menentang Hudud sebaliknya penyokong kuat Hudud sampai ada yang mengalirkan air mata. Itulah yang Umno sedang cari dan usaha selama ini, meletakkan Umno selesa di mata rakyat dan tidak menganggap mereka menentang dan menolak Islam. Melakukan penormaan Umno sama dengan Pas.

Taktik Umno yang tidak dapat dicapai selama ini ialah untuk meletakkan taraf dan nilai Umno sama dengan taraf dan nilai Pas. Umno ditolak di Kelantan ialah kerana sebilangan rakyat Kelantan tidak beranggapan Umno sebagai parti Islam.

Selepas ini isu Umno bukan parti agama tidak boleh dimainkan lagi. Umno bukan sahaja menggunakan isu mereka membina masjid, memberi gaji kepada guru-guru Kafa sebagai menandakan mereka pejuang Islam, tetapi langkah mereka menyokong Hudud adalah bukti baru bagi menandakan parti itu sudah berubah. Secara tidak langsung juga Hudud bukan lagi modal bagi Pas.

Jadi untuk Kelantan sudah cukup. Justeru buat apa Najib menyatakan sikapnya. Beliau tidak perlu mengeruhkan suasana dalam BN mengenai Hudud. Bukankah komponen BN, MCA dan Gerakan serta rakan di Sabah dan Sarawak sudah menunjukkan sikap mereka sama seperti DAP menolak Hudud?

Tidak perlu bagi Najib berkata sesuatu mengenai Hudud. Kalau di Kelantan Umno sudah berjaya memulihkan penerimaan rakyat kepada parti nasionalis itu, di Kuala Lumpur juga sasarannya sudah tercapai apabila DAP dan PKR kini sudah berperang besar dengan Pas gara-gara Hudud. Pergaduhan sesama sendiri dalam Pakatan Rakyat itulah yang dikehendaki Najib bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai PM.

Tuduhan Pakatan Rakyat kepada Najib dan BN sedang bermasalah akan dijawab dengan menceritakan menerusi televisyen dan akhbar apa yang sedang berlaku dalam Pakatan Rakyat gara-gara Hudud itu. PKR dan DAP Sabah sudah pun mengityharkan mereka putus hubungan dengan Pas semalam.

DAP Sarawak juga telah membuat perkara sama meninggalkan Pas dan akan membentuk Pakatan Rakyat baru. Malahan di Penang sendiri Lim Guan Eng sudah memutuskan hubungan dengan Presiden Pas Abdul Hadi Awang.

Perkembangan itu semua memberi keuntungan buat Najib dan BN, jadi untuk apa dia perlu menyatakan sikapnya lagi mengenai Hudud. Najib perlu diam dan biarkanlah Pas menanti dan menunggu pendiriannya mengenai Hudud. 

Selamat menanti pendirian Najib mengenai Hudud duhai Pas dan Pas juga sedar Najib juga sedang menanti apakah yang akan berlaku dalam muktamar Pas Jun nanti.
[wm.kl.1:10 pm 31/03/15]
Oleh...... MSO.

Tiada ulasan: