Khamis, 24 Jun 2010

Berita menarik - Jangan jadikan Cina kambing hitam

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini menuduh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim menjadikan masyarakat Cina di negara ini sebagai kambing hitam dalam agenda kerajaan meluluskan lesen judi sukan.

Pada sidang media di lobi parlimen, Lim mengulas dakwaan Rais kerajaan mesti meluluskan lesen judi itu kerana hak bukan Islam di negara ini perlu diiktiraf dan dihormati.

"Saya terkejut dengan kenyataan Datuk Seri Rais Yatim yang sekarang menganggap dirinya pakar hal ehwal Cina dengan menyatakan bahawa adalah perlu untuk menghalalkan judi bola kerana hanya dengan menghalalkan judi barulah kita boleh menghormati dan mengiktiraf hak-hak kaum Cina dan India," katanya mengulas kenyataan luarbiasa Rais itu.

Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata, dakwaan itu langsung tidak berasas.

"Saya ingin tanya sama beliau, manakah dan siapakah pertubuhan Cina yang memohon kepada kerajaan pusat sebelum ini untuk menghalalkan judi bola.

"Kerana dalam pengetahuan saya tidak ada sebarang pertubuhan Cina yang meminta judi bola dihalalkan. Saya nak tahu saja," katanya yang juga ahli parlimen Bagan.

Be
liau turut menegaskan, masyarakat Cina tidak pernah meminta judi dihalalkan kononnya untuk mengiktiraf hak mereka.

"Saya ingin nyatakan di sini bahawa masyarakat Cina tidak meminta bahawa judi bola dihalalkan sebagai tanda hak-hak mereka dihormati dan diiktiraf.

“Saya ingin menekankan di sini permintaan daripada masyarakat Cina atau India atau masyarakat bukan Melayu, Iban, Kadazan adalah sama dengan semua permintaan masyarakat Malaysia iaitu berteraskan prinsip kebebasan, keadilan, kebenaran, kebajikan kepada rakyat dan ketakwaan kepada Tuhan. Itulah permintaan daripada masyarakat Cina,” katanya.

Lim berkata Umno seolah-olah begitu berminat untuk menghalalkan judi berbanding masyarakat bukan Islam.

"Bukan seperti yang Umno cakap bahawa berkisar ke atas judi sahaja. Nampaknya Umno lebih minat dengan judi daripada orang-orang lain. Tapi jangan pula cakap itu permintaan masyarakat Cina dan hanya dengan memberikan judi bola barulah masyarakat Cina, India dan bukan Melayu dapat dihormati. Saya memang tidak bersetuju dengan pandangan sedemikian,” katanya.

Beliau juga menafikan kenyataan sesetengah pihak bahawa DAP mengharamkan sepenuhnya judi sebaliknya beliau berkata, DAP mahu judi dikurangkan.

"Saya bukan minta judi diharamkan terus tapi dikawal. Pendirian kita, yang sudah diluluskan biarkan tapi jangan tambah. Kalau boleh kita kurangkan," katanya.

Sabtu, 19 Jun 2010

Nik Aziz saran wanita solat Jumaat

Kompleks Masjid Daruttarbiyah bakal menyaksikan perubahan baru apabila kaum wanita disaran supaya menunaikan solat Jumaat seperti mana dilakukan kaum lelaki selepas siap pembinaannya kelak.

Harakah Daily melaporkan saranan itu diutarakan oleh Mursyidul Am, PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Sebenarnya sudah lama saya hendak tengok keadaan ini boleh dilakukan oleh wanita," katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan dan Penerimaan Derma mengisi tabung kompleks masjid tersebut di Kampung Wakaf Zain, dekat Bachok, malam semalam.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, keselesaan ruang masjid yang cukup luas mampu membawa kaum wanita untuk turut bersama menunaikan solat Jumaat.

"Saya cadangkan ruang bawah untuk orang perempuan dan di sebelah atas pula bagi orang lelaki masa sembahyang Jumaat," katanya.

Kompleks masjid tersebut mula dibina sejak Ogos tahun lalu di atas tapak seluas satu ekar yang dibeli dengan harga RM180,000 manakala pembinaannya menelan belanja sebanyak RM2 juta dan dijangka siap pada Ogos 2011.

Kos pembelian tapak serta binaan adalah daripada sumbangan orang ramai.

Masjid dua tingkat yang kini dalam 40 peratus pembinaan itu dibina secara bergotong royong melibatkan seluruh kepimpinan cawangan termasuk penghulu-penghulu mukim dan masyarakat tempatan.

Setelah beberapa lama saya tidak menulis, namun setelah terpandang berita diatas, tiba-tiba timbul keinginan saya untuk menulis berkaitan berita diatas untuk sekadar melepaskan perasaan.

Apa yang saya maksudkan yang menarik perhatian saya tersebut bukanlah berkaitan dengan saranan Nik Aziz agar kaum wanita bersembahyang Jumaat, tetapi lebih kepada berjayanya Kerajaan Kelantan dibawah kepimpinan Nik Aziz memberikan motivasi agar rakyat Kelantan sama-sama menderma bagi pembinaan Masjid tersebut.

Kenapa beliau berjaya memotivasikan rakyat Kelantan agar turut sama membiayai prasarana keugamaan sehingga berjaya membina Masjid seperti itu ?

Kenapa kerajaan-kerajaan negeri di bawah pemerintahan Barisan Nasional tidak boleh melakukan perkara yang sama ?

Jawapannya......................sama-samalah kita fikirkan.




(Gambar di bawah adalah Mesjid Beijing di Rantau Panjang Kelantan, bukan Mesjid yang di maksudkan didalam penulisan diatas.)

Khamis, 3 Jun 2010

B'nai B'rith isytihar Anwar musuh Israel





Pertubuhan pro-Israel tertua di dunia, B'nai B'rith International, yang menyifatkan diri mereka sebagai jagoan Yahudi sejagat, mengisytiharkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ancaman kepada kaum Yahudi.

Dalam gesaan rasmi badan itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat Amerika Syarikat, John F Kerry, B'nai B'rith mendesak Washington DC memutuskan semua hubungan dengan Anwar Ibrahim kerana membangkitkan kebencian terhadap Israel dan Yahudi-Zionis.

B'nai B'rith ditubuhkan pada 13 Oktober 1843 - ia mempunyai 200,000 anggota dan penyokong di 50 buah negara dan dikatakan sebagai gerakan yang paling aktif memperjuangkan kepentingan rejim Israel.

Harakah Daily dan juga TV Selangor mengeluarkan kecaman badan Yahudi itu terhadap Anwar dalam portal berita mereka.

Kecaman terhadap Anwar yang juga ketua umum PKR itu dibuat menerusi rasmi B'nai B'rith kepada John F Kerry, bertarikh 25 Mei lalu.

Ia melahirkan kebimbangan di atas kenyataan-kenyataan Anwar yang dikatakan anti-Israel semasa mendedahkan hubungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan firma perunding Apco Worldwide pada 30 Mac lalu di parlimen.

TV Selangor juga memetik B'nai B'rith yang memandang serius ucapan Anwar yang mereka sifatkan anti-Israel semasa membongkar pencerobohan perisik rejim Tel Aviv di ibu pejabat polis Bukit Aman.

"Manusia seperti Anwar Ibrahim tidak sewajarnya diberi penghormatan yang sekarang ini diterimanya hasil dari hubungan baik dengan Amerika Syarikat," tegas Presiden B'nai B'rith Dennis W Glick.

"Serangan beliau terhadap kerajaan Perdana Menteri Najib Abdul Razak disadur dengan fitnah yang anti-Yahudi dan anti-Israel," menurut surat itu lagi.

Anwar sebelum ini turut diserang portal rencana The New Ledger kerana mempersoalkan ikatan kerajaan Najib dan Apco Worldwide.

Penulis terbabit, Rachel Motte, menuduh Anwar sebagai ekstremis dan membidas tindakan beliau membantah "keberanian Najib" menurut kehendak Washington menekan Republik Islam Iran.

"Orang-orang kanan Anwar berkata kerajaan Malaysia melantik syarikat (Apco Worldwide) yang di dakwa mempunyai talian erat dengan rejim Zionis di Israel. Mereka mendakwa panel penasihatnya terdiri dari bekas ketua keselamatan kerajaan Israel dan ramai pekerjanya adalah bekas anggota Agensi Keselamatan Israel," kata Rachel Motte.

"Anwar terus membangkitkan sentimen anti-Semitik dengan mendakwa adanya perisik Israel dalam unit Teknologi Maklumat PDRM," menurut rencana itu lagi.

Penulis bagaimanapun tidak menampilkan bukti menunjukkan sebaliknya, mahupun bukti Apco Worldwide atau pekerjanya tidak mempunyai sebarang hubungan dengan rejim Tel Aviv.

Anwar mendedahkan pencerobohan ejen perisikan Israel di Bukit Aman di Dewan Rakyat pada 6 April lalu berdasarkan kepada laporan Pengarah Bahagian Logistik PDRM Datuk Mahsuri Zainal.