Isnin, 9 November 2009

Bantahan Mufti Perak, ada udang di sebalik meeee ?

Hari ini, Mufti Perak iaitu Tan Sri Harussani Zakaria dan Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut (klik sini) membantah Amalan bai'ah atau sumpah taat setia yang akan menjatuhkan talak tiga terhadap isteri wakil rakyat Pas yang mengkhianati parti itu dengan menyertai parti lain.

“Isteri bukannya barang gadaian dan jaminan, sewaktu hendak kahwin kita ambil dengan cara baik dan kita memperisterikannya dengan perjanjian yang besar di hadapan Tuhan,” katanya ketika mengulas mengenai pendedahan beberapa pemimpin Pas melakukan baiah talak tiga yang akan jatuh ke atas isteri wakil rakyatnya yang mengkhianati parti itu termasuk melompat parti.


Ulasan saya :

Walau apa pun alasan yang di berikan oleh pelbagai tokoh, baik dari dari tokoh Agama atau pun dari tokoh politik, yang sudah pasti menjadi pertimbangan Pas di dalam membuat peraturan supaya Amalan bai'ah atau sumpah taat setia yang akan menjatuhkan talak tiga terhadap isteri wakil rakyat Pas ialah mencegah wakil rakyat Pas dari belot terhadap partinya sendiri.

Bahawa sesungguhnya adalah suatu perbuatan biadap bagi mana-mana wakil rakyat, baik dari parti mana sekali pun, yang setelah memenangi di dalam pilihan raya sebagai wakil rakyat dari parti tertentu, tiba-tiba mahu melompat keparti lain, walau dengan alasan apa sekali pun.

Amatlah tidak wajar apabila mereka-mereka yang menyokong aksi lompat ini memberikan alasan bahawa demokrasi membenarkan perbuatan mereka-mereka ini.

Benar ! didalam amalan demokrasi, di izinkan sesiapa juga sebagai individu yang mahu menukar anutan pegangan pahaman politik mereka, tetapi jangan lupa, wakil rakyat yang menang di atas tiket-tiket tertentu sebelumnya adalah kerana dia bertanding sebagai calon dari parti-parti tertentu, bukannya dia menang sebagai calon dirinya sendiri, umpamanya calon bebas.

Kalau dia menang sebagai calon bebas, lantak engkaulah nak lompat kemana pun, tetapi apabila dia menang sebagai calon parti tertentu, maka apabila dia nak keluar dari parti asal yang ditandinginya, dia sepatutnya dipaksa meletakkan jawatannya sebagai wakil rakyat di kawasannya kerana dia menang dulu diatas tiket parti asal.

Tetapi apabila sehingga kini, belum ada peraturan yang memastikan supaya mana-mana wakil rakyat yang berhajat melompat parti terpaksa mengosongkan kerusinya, maka Pas sebagai parti pembangkang yang sering dihantui masaalah wakil rakyat yang tidak setia, wakil rakyat yang khianat, wakil rakyat yang tamak sejak beberapa lama dahulu, terpaksa memikirkan satu alternatif dari masaalah yang dihadapinya.

Alternatif yang di jumpai dan didapati sangat berkesan ialah amalan Bai'ah atau sumpah taat setia ini, sebagai buktinya semasa Kelantan di perintah oleh Pas sebelum PRU12 dahulu dengan majoriti hanya satu kerusi, namun dengan izin Allah, bai'ah inilah yang telah menyelamatkan Kerajaan Kelantan dibawah kepimpinan Nik Aziz ketika itu.

Kita jangan lupa, sebelum kaedah sumpah lafaz taklik cerai talak tiga terhadap isteri, apabila wakil rakyat Pas melompat parti ini dilaksanakan, umpamanya di Trengganu satu masa dahulu, tidak sampai satu penggal, Kerajaan Pas Trengganu boleh tumbang akibat perbuatan tidak bermoral ini.

Begitulah juga dengan apa yang berlaku di Perak, kalaulah semua wakil rakyat yang melompat parti tersebut adalah dari wakil rakyat Pas, saya sangat yakin kerajaan Pakatan Rakyat tidak akan tumbang dan Datuk Sri Nizar masih kekal sebagai Menteri Besar Perak sehingga ke PRU 13 nanti.

Oleh itu sangat jelas, bahawa mereka-mereka yang membantah kaedah bai'ah ini, walau siapa sekali pun mereka, sama ada dia Mufti, wakil rakyat atau orang biasa.

Nyata dan jelas bahawa mereka adalah dari golongan orang-orang yang berkepentingan.

Peraturan bai'ah ini dibuat adalah kerana terpaksa, tidak timbul kononnya menzalimi si isteri, kita bukan suruh dia menceraikan isterinya tanpa sebab, dah tiada jalan lain lagi untuk mengikat si bedebah ini dari melompat parti.

Lagi pun tiada siapa pun memaksanya supaya menjadi calon, biasanya calon inilah yang beriya-iya sangat nak jadi calon, buktinya.....apabila di syaratkan supaya berbai'ah terlebih dahulu pun, calon tersebut tetap sanggup juga.

Kalau dia rasa dengan cara berbai'ah ini boleh menyebabkan hidupnya tertekan, usah jadi calon...........bukannya susah pun.....

Berlambak-lambak lagi orang lain yang mahu jadi calon, lebih-lebih lagi kalau calon yang terbukti kemudiannya tanpa Bai'ah ini, dengan mudah boleh di beli ....................

Satu masa dulu, setiap calon yang mahu bertanding sebagai calon pembangkang, di syaratkan menanda tangani satu borang kosong, maka apabila calon tersebut menang dan tiba-tiba melompat ke parti lawan, maka surat tersebut dikeluarkan dan di isi satu pengistiharan bahawa wakil rakyat tersebut telah meletakkan jawatannya.

Malangnya setelah perkara tersebut di rujuk ke Mahkamah, Hakim bicara mengekalkan kedudukan wakil tersebut sebagai Wakil Rakyat, dengan alasan-alasan tertentu.

Sejak dari tarikh tersebut, Pas pun mula memikirkan alternatif baru, lantas di temui kaedah bai'ah lafas taklik ini, apa salah ke......? dari segi moral .....betul !, dari segi agama.......lulus, kalau tak lulus, tak kan lah ramai wakil rakyat Pas yang takut melanggarnya.

Sementelahan lagi didalam keadaan dharurat, didalam menjaga kepentingan umum, banyak perkara di bolehkan......................


Apa ? Mufti Perak dan Johor ni, tak faham ke...........atau ada udang di sebalik meeeeeeeeee

Kalau tanya pemimpin Umno, memang dia akan kata tak betul, zalimlah dan macam-macam lagi.........................

(1) Sebab kalau tiada Bai'ah ini, senanglah dia mahu membeli wakil rakyat Pas untuk menyertai Umno, maklumlah Umno banyak duit....................boleh bayar berapa saja mau.....

(2) Sebab dia tak merasa lagi peritnya akibat perbuatan si bedebah lompat ni................kalau dimasa akan datang, apabila Umno menjadi pembangkang di peringkat persekutuan dan ada diantara wakil rakyatnya yang melompat ke parti lawan, malah telah menyebabkan satu kerajaan negeri yang di kuasainya tumbang, barulah dia faham.

Maka masa itu, terhegeh-hegehlah Harussani dan Noh Gadut membuat fatwa, bahawa dibolehkan membuat Bai'ah demi menjaga kepentingan orang Melayu...............konon.............piiiiii lah..........







Sila baca Rencana Khas Bai'ah dari MSO









Jumaat, 6 November 2009

Hadi umpama 'Pak Lah versi PAS

Kepemimpinan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dianggap sangat lesu sehingga beliau boleh diumpamakan "Pak Lah versi PAS", kata ahli akademik Prof Dr Abdul Aziz Bari hari ini.

Tun Abdullah Ahmad Badawi dianggap seorang pemimpin lemah, tidak tegas, lembab dalam pelaksanaan dasar dan dipersalahkan atas kemerosotan teruk BN sehingga dipaksa melepaskan jawatan presiden Umno dan perdana menteri.

Dr Abdul Aziz berkata, kekalahan bertubi-tubi PAS di Terengganu – negeri Abdul Hadi sendiri – pada pilihan raya umum 2004, selepas menawannya pada 1999, dan tahun lepas serta kemerosotan dalam beberapa pilihan raya kecil menyebabkan beliau meyakini bahawa kritikan tersebut mempunyai asas.

"Kemudian di Bagan Pinang, maaflah, sudah banyak sangat (kalah). Kali ini mungkin betul, bila sudah ada orang sebut, kita ada versi Pak Lah dalam PAS sendiri," katanya.

"Dan memang, kalau tengok kenyataan dia (Abdul Hadi), sama ada yang terbaru ini atau beberapa bulan ini, sudah jelas. Maksudnya, kenyataan tentang UG (kerajaan perpaduan) itu, bukan macam orang politik."

Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu menambah, oleh itu Abdul Hadi dianggap "beban" parti itu untuk terus mengembangkan pengaruhnya dan memainkan peranan lebih besar dalam “politik baru” Pakatan Rakyat.

"Kita tidak peduli sama ada kumpulan dia (Abdul Hadi) masih bercinta dengan Umno. Itu kita tidak peduli. Tetapi bagi saya, dalam politik, tidak ada peluang kedua.

"Kamu sudah buat, (kemudian) gagal, keluar (berundur). Hendak bertengkar tentang dia jumpa lagi (dengan Umno atau) tidak, imej itu sudah terpalit kepada dia dan kumpulan dia, terutamanya (timbalan presiden) Nasharuddin (Mat Isa)," tambahnya.

'Sudah hilang stim'

Dr Abdul Aziz juga berkata, walaupun pada 1980-an dan 1990-an tokoh agama itu berpengaruh luas khususnya melalui pidato tetapi kini presiden PAS itu kini "sudah hilang stim".

"Dia sudang hilang stim. Sebahagian daripada tindak-tanduknya tidak datang daripada dia atau cuma disuap dalam mulutnya. Contoh yang paling jelas, (idea) kerajaan perpaduan," katanya.

"Tengok, atau kita banding dengan apa yang dibuat sekitar tahun 1980-an dengan amanatnya (petikan ucapan yang dilabel 'Amanat Hadi'). Ini secara efektifnya mengkafirkan Umno. Sekarang kenapa hendak bekerjasama dengan Umno?"

Dalam wawancara dengan Malaysiakini hari ini, pakar undang-undang perlembagaan itu mendakwa, kegagalan Abdul Hadi bertindak sebagai "tokoh nombor satu" diburukkan lagi oleh peranan pemimpin lain seperti Nasharuddin dan setiausaha agung Datuk Mustafa Ali.

Diminta mengulas sejak bila tokoh PAS itu "hilang stim", Dr Abdul Aziz berkata: "Sebelum (era) reformasi (1998) dia tidak ada peranan yang penting, (sebagai) naib presiden saja atau timbalan presiden.

"Jadi, saya rasa, masalah atau isunya sekarang ini dia seorang timbalan yang bagus. Itu yang selalu disebutkan. Dan itu saya setuju.

"Kalau dia (pada jawatan) nombor dua, dia seorang yang setia dan dapat melaksanakan apa yang disuruh. Tetapi kalau letak dia (sebagai) kapten, setakat ini memang jelas tidak dapat.

"(Keadaan) itu menjelaskan kenapa dia tidak dapat membalas serangan terhadap 'Amanat Hadi' itu. Jadi, serangan itu sudah bersifat politik dan dia sudah tidak dapat main lagi."

Beliau juga mendakwa, Abdul Hadi tidak lagi mempunyai ciri seorang pemimpin dalam senario politik baru, hubungan awamnya pula tidak baik dan gagal berfungsi sebagai ideolog atau peneraju utama yang menjelaskan wawasan parti seperti "PAS untuk semua" dan "negara berkebajikan".

Abdul Hadi masih lagi berlegar di sekitar isu Melayu-Islam semata-mata seperti isu yang dijuarai parti itu sejak dulu, tambahnya.

'Ciuman maut'

Dr Abdul Aziz, yang kini semakin lantang mendesak pengunduran Abdul Hadi, diundang membentangkan analisis kemerosotan PAS dalam seminar politik parti itu di Gombak, esok.

Seminar sehari itu, yang dijangka melibatkan 1,000 pemimpin atasan dan akar umbi PAS, dianjurkan susulan desakan untuk mengadakan muktamar khas bagi membincangkan "beberapa pemimpin bermasalah".

Ditemui di pejabatnya di kampus Gombak pagi ini, Dr Aziz berkata kelemahan Abdul Hadi, yang juga ahli parlimen Marang, sudah diketahui oleh barisan pemimpin PAS tetapi tiada siapa yang berani menegurnya secara terbuka.

"Semua orang tahu (kelemahan ini), tetapi siapa berani cakap dalam parti yang tema wala'-nya (kesetiaannya) cukup kuat," katanya.

Mengulas isu kerajaan perpaduan, Dr Abdul Aziz menyifatkan ia sebagai "ciuman maut" dan perangkap musuh politiknya Umno untuk terus mengkucar-kacirkan parti Islam itu.

"Kalau yang berunding itu (penasihat PKR, Datuk Seri) Anwar Ibrahim, (mursyidul am, Datuk) Nik Aziz (Nik Mat) atau (tokoh popular DAP) Lim Kit Siang, tidak ada masalah.

"Tetapi kalau dia dengan Nasharuddin ataupun yang lain-lain, (mereka ini) akan dilipat, diduduk oleh Umno (kerana kelemahannya)," katanya.


Untuk pengetahuan semua, dibawah ini disiarkan pula ulasan Ketua Pemuda PAS terhadap semua dakwaan Dr Aziz Bari seperti mana diatas....

1. Dr. Abd Aziz Bari semakin menyeringai dengan menunjuk taring dan belangnya hari ini melewati satu wawancara ekslusif beliau bersama malaysiakini .
2. Semakin lantang dan celupar kenyataannya . Tidak keterlaluan jika saya kata beliau semakin biadab [ tiada adab ] menyerang pemimpin PAS tanpa sabar lagi untuk menunggu hari esok .

3. Sedang esok beliau telah diundang oleh PAS untuk memberi pandangan dan kritikan beliau . Biarpun pedas dan keras , namun atas keterbukaan sikap Presiden PAS dan seluruh pimpinannya , Dr Aziz Bari diundang sebagai tetamu dan panel dalam Seminar Politik yang akan berlangsung esok .

4. Beliau boleh menunggu hari esok untuk melontarkan idea dan kritikan kepada PAS dan pimpinannya . Tapi beliau seperti mempunyai agenda tersembunyi , apabila secara konsisten memilih media umum untuk menghentam dan membidas serta melemparkan fitnah dan tuduhan tanpa bukti kepada pimpinan PAS .

5. Sebagai tokoh akademi , beliau sewajarnya kaya dengan adab dan tatacara dalam mengkritik dan membuat tuduhan . Bukan sewenang - wenangnya melemparkan tuduhan tanpa lampiran bukti yang kukuh . PAS telah membuka medan atau saluran yang betul buat beliau mengkritik [ dengan mengundang beliau sebagai panel ke Seminar Politik PAS ] , tetapi kelihatan beliau gagal memahami kedudukan itu dengan mengambil sikap terus menerus mengasak dan menyerang pimpinan PAS di khalayak ramai .

6. Lagaknya seperti mata lembing musuh untuk terus menikam pimpinan PAS yang tidak digemarinya malah juga tidak keterlaluan kalau saya pula mengatakan beliau adalah agen UMNO sebagaimana beliau menuduh Presiden PAS dan timbalannya sebagai pro UMNO .

7. Apakah Dr Aziz Bari bimbang untuk berhadapan dengan ahli - ahli PAS dalam Seminar Politik esok sehingga memaksa beliau membuat kenyataan demi kenyataan menyerang Presiden PAS di luar medan yang disediakan ? Tiadakah kesabaran beliau untuk menunggu awal pagi esok ? Atau sememangnya beliau merancang untuk terlebih dahulu mempengaruhi peserta seminar dan masyarakat umum ?

8. Saya kini tidak lagi melihat kritikan beliau terhadap pimpinan PAS sebagai datang dari seorang tokoh akademik yang ikhlas dan tulus , tetapi ia adalah kritikan yang datang dari seorang agen musuh untuk menggulingkan Presiden PAS dan mahu melihat PAS terus bergolak . Beliau sangat seronok melihat PAS berkrisis hasil kritikan dan tohmahan yang dilontarkan .

9. Sebelumnya saya tidak ambil kisah kenyataan - kenyataan beliau . Saya berlapang dada . Saya kira ini adalah pandangan dari luar kotak yang perlu diberi perhatian oleh pimpinan . Alhamdulillah , perhatian telah diberikan oleh pimpinan PAS terhadap tulisan - tulisan beliau dan akhirnya membawa kepada Seminar Politik . Lebih menarik , beliau jua antara panel yang diundang oleh PAS untuk memberi kritikan melalui medan dan saluran yang disediakan . PAS , pimpinan dan seluruh ahlinya sedia mendengar dan bermuhasabah .

10. Tetapi beliau masih tidak berpuas hati . Pimpinan PAS terus diserang dan ditohmah . Beliau bercakap soal disiplin dan karisma kepimpinan tetapi saya lihat beliau sendiri jelas tidak memiliki disiplin dan jauh sekali dari memiliki karisma . Ramai orang tertanya - tanya , apa sebenarnya yang beliau mahu ?

11. Melihat kepada reaksi brutal beliau menyerang tanpa henti , mudah sahaja jawapannya ialah beliau mahu menjatuhkan Presiden PAS dan beberapa pimpinan yang lain serta mahu supaya PAS terus bergolak . Akhirnya beliau [ Dr. Aziz Bari ] dan puak - puaknya mendapat advantage dari kekeruhan yang diciptanya .

12. Jawapan ini saya kemukakan kerana jelas apa yang diinginkan oleh Dr Aziz Bari bukan penyelesaian kerana pelan penyelesaian telah dibuat dan medan perbahasan telah dibuka dengan penganjuran seminar ini . tapi beliau menunjuk rasa tidak puas hatinya dengan terus melanyak pimpinan PAS . Ertinya beliau bukan inginkan kedamaian dan penyelesaian tetapi apa yang beliau mahu ialah menyingkirkan Presiden PAS dan beberapa orang pimpinan PAS yang lain bagi memuaskan hatinya dan hati puak - puaknya .

13. Dr. Aziz Bari dan kumpulannya kelihatan terancang dan teliti dalam mengatur plot untuk menjatuhkan presiden PAS . Tulisan dan kenyataan beliau terutamanya hari ini bukan lagi bersifat teguran dan kritikan tetapi serangan dan tohmahan untuk menjatuhkan Presiden PAS dengan memberi pelbagai label . Saya berdoa kepada Allah swt semoga Allah memelihara jamaah Islam ini dan menggagalkan perancangan Dr Aziz Bari dan kumpulannya .

14. Saya menyesal kerana hampir - hampir mempercayai beliau dan menghormati seluruh tulisan beliau . Ternyata saya silap dan beliau tidak ikhlas sebagaimana yang disangka . Apa salahnya beliau menunggu esok yang tidak berapa jam sahaja lagi untuk memberi teguran direct kepada seluruh pimpinan PAS dari segenap peringkat yang hadhir berseminar nanti . Kenapa setelah dibuka ruang dan diberi peluang kepada beliau dengan penuh hormat dan penuh dengan sikap keterbukaan pimpinan PAS , beliau masih tidak menghormatinya sebaliknya memilih untuk terus menghentam pimpinan PAS di media umum ?

15. Menurut rekod daftar ahli PAS sekarang dan pengakuan beliau sendiri , beliau bukanlah ahli PAS dengan maksud beliau memang bertindak sebagai orang luar dari PAS . Realiti itu tiada masaalah bagi saya . Boleh sahaja sesiapa pun mengkritik PAS dan pimpinan PAS mestilah peka dengan kritikan tersebut . Tetapi apabila kritikan itu bernada tuduhan dan tohmahan , beliau mestilah tampil dengan hujjah dan bukti yang kukuh . Malangnya beliau menulis tanpa sebarang bukti kukuh malah menampilkan fakta yang salah .

16. Pun begitu saya masih menaruh harapan agar esok , Dr Aziz Bari dapat hadhir dan kemukakan hujjah serta bukti - bukti kukuh beliau . PAS telah sediakan medan yang telus dan tulus buat beliau .

17. Kelak , jika tiada bukti yang meyakinkan terhadap segala tuduhan dan tohmahan maka selesailah sebuah kemelut ciptaan Dr Aziz Bari dan puak - puak yang mendokongnya dan harapan saya selepas itu , pimpinan dan ahli PAS tidak perlu lagi terseret dalam kancah yang sengaja di creat oleh agen - agen musuh untuk terus melihat PAS retak dan lemah .

18. Sebaliknya , jika Dr Aziz Bari berjaya mengemukakan bukti yang jelas atas setiap pertuduhan yang dilemparkan , PAS janganlah teragak - agak untuk mengambil tindakan ke atas siapa jua yang menggadai prisip perjuangan dan polisi parti .

19. Akhirnya saya menyeru agar semua sahabat seperjuangan agar tidak mudah untuk terpengaruh dengan propaganda musuh yang mahu melihat parti terus bergolak . Kerana apabila PAS teguh dan bersatu , maka pastinya akan menyusahkan mereka untuk melaksanakan agenda - agenda jahat menghancurkan perjuangan Islam ini .

20. Marilah kita cantumkan semula pecahan - pecahan hati dan rasa dikalangan kita , agar kita kembali bertaut dengan semangat ukhuwwah fillah . Biarlah orang lain bercakap , mengkritik , menuduh dan menabur fitnah sementara kita terus utuh memberikan komitmen yang tinggi terhadap perjuangan . Melaksanakan tanggungjawab dan tugas yang masih terbengkalai kerana asyik dan hanyut dalam arus pergolakan yang dicipta oleh agen musuh .









Rabu, 4 November 2009

Pengarah Jais nak tunjuk kuasa

SHAH ALAM 3 Nov. – Penahanan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kelmarin bukan dibuat secara semberono atau mengikut telunjuk mana-mana pihak.

Sebaliknya Pengarah JAIS, Mohamed Khusrin Munawi menegaskan, tindakan itu diambil selepas Mohd. Asri berulang kali melanggar peraturan berkaitan aktiviti memberi ceramah agama di negeri ini.

Menurutnya, Mohd. Asri tahu tentang peraturan tersebut tetapi terus melakukan kesalahan itu.

“JAIS pernah menghantar pekeliling kepada semua mufti negeri termasuk Mohd. Asri yang memberitahu tentang keperluan mendapat kebenaran dan pentauliahan jabatan itu untuk membolehkan mereka menyampaikan kuliah di Selangor,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, Mohd. Asri kerap kali memberi kuliah agama tanpa tauliah termasuk di Hulu Klang yang dibuat hampir setiap bulan begitu juga di Masjid Seksyen 14, Petaling Jaya.

“Ini bermakna beliau tidak menghormati peraturan yang telah ditetapkan di negeri ini,” ujarnya.

Katanya, penahanan terhadap Mohd. Asri pada malam itu dibuat selepas mesyuarat JAIS dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dilakukan.

Dalam pada itu, Mohamed Khusrin memberitahu, keputusan sama ada bekas Mufti Perlis tersebut bakal didakwa atau sebaliknya hanya akan diputuskan oleh Bahagian Pendakwaan JAIS sebelum penghujung bulan ini.

Katanya, pada masa ini pihaknya sedang menyiapkan kertas siasatan kes Mohd. Asri yang ditahan mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Islam Selangor.

“Sebaik sahaja kertas siasatan kes Mohd. Asri siap, kita akan serahkan kepada Bahagian Pendakwaan. Selepas itu terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan,” jelasnya.

Mohd. Asri ditahan oleh pasukan penguat kuasa JAIS malam semalam kerana menyampaikan kuliah agama tanpa tauliah di sebuah banglo di Taman Sri Ukay, Hulu Klang.

Turut hadir pada majlis kuliah itu ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang, Saari Sungib.

Ditanya mengapa Mohd. Asri tidak didakwa semalam, Mohamed Khusrin berkata, bekas mufti itu ditahan bukan untuk didakwa tetapi bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadapnya kerana menyampaikan kuliah tanpa tauliah.

“Macam polis menangkap penjenayah, kena dapat perintah reman dulu dan bila sudah siap kertas siasatan baru pendakwaan dibuat.

“Cuma bezanya kita tidak dapatkan waran tahanan terhadap Mohd. Asri kerana kita telah bebaskan dia dengan bon jaminan JAIS,” jelasnya.

Lain-lain berita ..............

Ditahan ketika lakukan kesalahan
Penahanan Mohd. Asri disokong
Dr. Mohd. Asri akan ambil tindakan undang-undang
JAIS perlu segera dakwa Mohd. Asri
Tauliah: JAIS akan temu duga dahulu


Komen saya :

Dah jelas bahawa Jais dibawah pengarahnya Mohamed Khusrin Munawi, sengaja menahan Dr Mohd Asri tanpa alasan kukuh, kalau setakat alasan mengajar tanpa tauliah, ai.... budak tadika pun tak boleh terima.

Tauliah mengajar ni hanyalah masaalah teknikal sahaja, ianya berguna apabila Jais atau Mais mahu mempastikan orang yang tidak layak dan tidak mempunyai ilmu agama tetapi mahu juga mengajar agama.

Oleh itu disyaratkan supaya sesiapa sahaja yang mahu mengajar agama, bercakap berkaitan agama mesti ada tauliah, nak dapat tauliah mesti memohon dan ditemuduga dahulu oleh pegawai Jais atau Mais, setelah lulus baru diberi tauliah.

Syarat ini telah diwartakan dan dijadikan undang-undang, memanglah boleh jika nak dakwa Dr Asri berkaitan kes ini, tetapi seperti mana-mana penguatkuasaan undang-undang, kadang-kadang ada kes yang perlu kepada budi bicara.

Tetapi didalam kes Dr Asri ini, pengarah Jais tersebut tak kan tak boleh menggunakan budi bicaranya, dia tahu Dr Asri tu bekas Mufti, tak kan bekas Mufti tak layak beri ceramah agama,

mengarut....mengarut.....

Yang tentunya pengarah Jais Mohamed Khusrin Munawi ni, ada sesuatu dendam kepada Dr Asri, maka digunakanlah akta mengajar tanpa tauliah ni untuk menahan dan memberi malu kepada Dr Asri.

Antara dendamnya kepada Dr Asri, ialah berkaitan dengan tuduhan kononnya Dr Asri menyebarkan fahaman wahabi, sedangkan Dr Asri menafikannya, munkin yang sebetulnya Dr Asri hanya memilih perkara-perkara tertentu di dalam fahaman wahabi tersebut yang difikirkan sesuai untuk di ikuti oleh umat Islam di Malaysia, bukan keseluruhan fahaman tersebut.

Lagi pun bukannya salah dari segi agama, umat Islam mengikuti amalan wahabi, kerana semasa di Mekah, mereka juga mengikuti amalan tersebut.

Oleh itu tindakkan Jais menahan Dr Asri hanyalah satu tindakkan yang mahu membalas dendam dan tunjuk kuasa sahaja ....................................



Isnin, 2 November 2009

Menunggu ulasan dari Hassan Ali

Wah membingungkan sekali.............................siapakah di belakang penangkapan Dr Asri ini ?
Datuk Sri Najib Persoal Penahanan Asri, pemuda Pas pun membela Dr Asri sehingga ketua pemudanya Nasruddin Hassan Tantawi pun ingin jumpa Jais.

Marina Mahathir pun hadhir di Mahkamah menunjukkan sokongan, Zainah Anwar ketua Sister In Islam (SIS) juga hadhir, wah ........nampaknya ramai yang menyokong Dr Asri ni.............kalau semua golongan menyokong Dr Asri, maka siapa musuh Dr Asri ni..........

Kalau di Iraq atau di Indonesia, selepas berlaku pengeboman oleh kumpulan berani mati, mereka yang bertanggung jawab, biasanya dengan penuh bangga akan menelefon akhbar untuk memberitahu bahawa pengeboman tersebut dilakukan oleh kumpulan mereka.

Tetapi didalam kes pengeboman Dr Asri ini, sehingga kini tiada siapa yang mahu mengaku bertanggung jawab.

Yang jelas, semakin ramai yang menuding jari kepada Hassan Ali, Datuk Sri Najib secara tidak langsung menuduh Hassan Ali apabila beliau berkata "Saya tidak tahu apa motifnya. Tindakan ini (penahanan Asri) dibuat oleh (jabatan agama) kerajaan negeri (Selangor). Ia tiada kena mengena dengan kerajaan pusat.

Oleh kerana hassan Ali adalah exco agama, yang bertanggung jawab terhadap Jais, maka Hassan Ali tetap terkena tempiasnya, walau pun jika ada tangan-tangan lain yang melakukannya, namun nama Hassan Ali tetap terpalit, sehingga kini Hassan Ali masih belum muncul menjelaskan keadaan..............................




Ahad, 1 November 2009

Berita yang tiada nilainya lagi

Oleh kerana saya memperjuangkan kebenaran, dan tulisan MSO kali ini bagi saya memang ada benarnya, maka dibawah ini saya Copy dan Paste tulisan beliau di blognya untuk simpanan saya.

MEDIA cetak arus perdana telah menyiarkan muka depan pengumuman Adun Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah yang keluar dari PKR dan menyokong BN tiga hari lepas. TV juga turut sama melaporkan pengumuman Badrul Hisham itu. Biarpun berita itu berita utama tetapi nilai kejutan kepada orang ramai tidak seberapa.

Badrul Hisham umpama batu kecil yang dilempar ke dalam lautan luas. Ombak dan geloranya tidak ternampak malahan ikan kecil pun tidak terusik olehnya. Kenapa? Sebabnya sudah lama Adun ini hilang dan menyepikan diri daripada runag legar PKR dan Pakatan Rakyat. Sikap itu tidak siapa mengetahui apakah punca-puncanya dan ia dianggap sebagai misteri.

Walaupun ada laporan mengatakan dia kurang senang dengan cara Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim tetapi orang ramai tidak jelas dari sudut manakah menyebabkan beliau kurang setuju dengan Khalid yang akhirnya membawa kepada tindakan keluar parti. Kalau kerana jenis Khalid yang kurang mesra alam itu dijadikan alasan, ia tidak menjadi persoalan. Sebab itulah stail kepimpinan Khalid yang rata-rata diperkatakan orang. Kalau hendak diikutkan stail Khalid banyak lagi orang PKR Selangor akan meninggalkan parti berkenaan.

Khalid memang tidak pandai 'berbasa basi' dalam politik. Cara dia mentadbir Selangor itu bukan sebagai seorang MB tetapi lebih kepada sebagai CEO. Caranya mengurus Guthrie masih terbawa-bawa dalam tugasannya sebagai MB. Silapnya ialah tidak mahu berubah dari stail korporat kepada politik, inilah menjadi masalah menyebabkan Khalid persis mahu menjadikan penyokong partinya seperti pokok-pokok sawit Guhtrie.

Tetapi kerana orang sudah maklum begitu, menyebabkan mereka yang faham tidak akan marah kepadanya. Bahkan menerima Khalid sebagai seorang MB yang efeksyen. Khalid menekan soal keberkesanan dalam pentadbirannya dan benci kepada kerenah politik. Dia lebih penting kepada kebaikan (ketelusan) kepada kerajaan Selangor tanpa mempedulikan rayuan dan eksplotasi politik. Kalau pembawaan ini satu kelemahan, maka itulah kelemahan Khalid. Tetapi soalnya apakah kita menyertai sesuatu perjuangan itu kerana peribadi seseorang atau kerana matlamat perjuangannya?
Khalid mengakui hakikat kelemahan dalam melayan kerenah manusia politik ini. Dalam satu percakapan di rumahnya semasa majlis rumah terbuka hari raya, beliau mengakui sendiri hakikat itu. Sepatah katanya berbunyi; orang politik tidak boleh shake hand. Kata-kata ini menjelaskan betapa beliau cemas dengan orang politik. Maksud kata-kata itu orang politik tidak boleh dipegang kepada ikrar dan janji, berbeza dengan ahli perniagaan. Tambahnya kalau kita shake hand dengan bisnesman, itu dikira sudah jadi, tapi kalau dengan orang politik ia belum tentu lagi.

Apa yang boleh difahmi, dua dunia yang dihuni Khalid sangat berbeza antara satu sama lain. Politik adalah universiti kedua baginya. Kelamahan Khalid dalam politik ini sebenarnya tidak perlu dituturkan lagi. Bayangkan sebagai ahli koprat bertanding ketua cawangan Umno pun dia kalah. Dari sini kita boleh menilai sejauh mana kepintaran dan kelicitan Khalid dalam siasah. Kekalahan beliau merebut ketua cawangan Umno itu membuktikan beliau tidak tahu pakai duit.

Makanya kalau Badrul Hisham atau sesiapa mengetahui latar belakang dan gaya politik Khalid itu, mereka tidak akan marah kepadanya. Jika mereka mengambil sikap membakar kelambu kerana bencikan Khalid ia adalah silap. Tindakan itu tidak bijak. Justeru kepada saya dalam kes Badrul Hisham ini bukan disebabkan Khalid. Mustahil Badrul Hisham tidak memahami Khalid. Tetapi saya percaya ada perkara lain yang sedang menghambat diri Adun berkenaan.

Selain membaham Khalid, untuk menghalalkan tindakannya itu Badrul Hisham cuba melemparkan telor busuk kepada Anwar Ibrahim. Kononnya dia bertindak begitu kerana meragui moral Anwar Ibrahim. Penangguhan perbicara kes liwat Anwar menjadi punca beliau meragui moral Anwar dan meninggalkan PKR. Betulkah? Dan bagaimana pula moraliti Badrul Hisham.

Sekali lagi ini adalah alasan semata-mata. Hampir semua mereka yang berpatah arang berkerat rotan dengan PKR menjadikan Anwar sebagai penyebabnya. Kononnya moral Anwar menyebabkana mereka terpaksa menukar kiblat dan mengangkat syahadat semula dengan UBN. Bagi saya mereka yang mencari-cari alasan begitu adalah mereka yang lemah dan tidak mempunyai jiwa besar dalam perjuangan, dan tidak pun layak berada dalam parti pembangkang yang semestinya memerlukan orang-orang yang berjiwa besi dan berhati Bugis.

Sejak awal lagi orang-orang ini tidak layak menjadi pemimpin kerana mereka tidak melihat ke sekeliling mereka terlebih dahulu sebelum mereka mengambil bia'ah untuk bersama PKR dan Anwar. Bukankah isu mengenai moral Anwar ini berlaku lama sebelum ini? Butalah mata zahir dan mati hati mereka kalau tidak mendengar kes-kes itu dan memahami konspirator untuk memburukkan Anwar dengan isu rendah moral itu.

Sebelum terjebak dengan kes liwat dengan pembacuh kopi, Anwar sudah diheret ke mahkamah dengan kes yang sama. Malahan bagi setengah orang termasuk saya sendiri mendengar fitnah Anwar seorang homoseks sejak tahun 1991 lagi. Tetapi kenapa mereka ini (Adun yang keluar parti dan mereka yang 'mufarakah' kerana kes itu) berbuat demikian kebelakangan ini saja, setelah PKR mendapat kuasa bersama Pakatan Rakyat? Rahsia ini yang patut disedari semua orang.

Situasi inilah kepada saya mereka itu munafik dan sengaja mahu memburukkan Anwar bagi menghalalkan tindakan mereka. Sepatutnya kalau mereka penakut dan berjiwa kecil mengaku saja tanpa mencari helah dan alasan lain. Cara itu lebih dihormati kerana mereka gentlemen. Sikap menyalahkan orang, seperti pendendang yang tidak tahu menari mengatakan tanah tinggi rendah. Sikap ini adalah sikap 'munafikun'.

Baik kepada Badrul Hisham ataupun mereka yang bermasalah hendak melarikan diri daripada PKR boleh keluar begitu saja tanpa mengata mana-mana pihak. Janganlah jadi seperti maling yang jahat lagi biadap, sudahlah barang orang disapu hendak tinggalkan rumah diberak pula ditengah balai!

Kalaupun Anwar diburukkan ia tidak memberi bekas apa-apa. Semakin diburukkan semakin itu pula Anwar mendapat simpati. Logiknya mudah sahaja kalau negarawan seperti Dr Mahathir Mohamad gagal untuk menghancurkan Anwar apa tah lagi orang-orang seperti Badrul Hisham, Mohamad Azam Mohd Noor dan mereka yang sejenis dengannya.

Dalam Umno terumbang ambing kini saya percaya Umno tidak akan begitu memikir panjang untuk menerima sesiapa saja menyertai mereka termasuk juga mereka yang lemah jiwa, moral busuk dan tidak ada kualiti dan sebagainya. Kerana apa.. kerana Umno benar-benar dalam keadaan terdesak apa pun jenis orang pun parti itu akan memeluknya.