Rabu, 6 April 2011

Kali pertama pembangkang tolak suruhanjaya diraja


KUALA LUMPUR 5 April - Keengganan pembangkang menerima cadangan penubuhan suruhanjaya diraja bagi menyiasat skandal video seks secara menyeluruh, mencatat sejarah baru dalam politik tanah air kerana inilah kali pertama mereka menolak suruhanjaya berkenaan.

Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim berkata, sukar untuk difahami mengapa pembangkang bermati-matian menolak suruhanjaya itu sedangkan, isu video seks adalah isu nasional kerana ia dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, keengganan pembangkang itu hanya menjurus kepada satu kesimpulan iaitu, mereka takut jika kebenaran sebenar mengenai siapa 'pelakon lelaki' yang dirakam melakukan hubungan seks dengan seorang pelacur China di sebuah hotel diketahui oleh rakyat.

"Saya harap kerajaan dapat menyelesaikan masalah ini kerana kita tidak mahu dunia menganggap parti yang memerintah Malaysia terlibat dalam pembikinan video seks seperti dituduh pembangkang. Sebab itu penubuhan suruhanjaya ini cukup penting," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, beliau pelik dengan pendirian Pengerusi DAP, Karpal Singh serta kuncu-kuncunya yang seperti takut untuk berhadapan dengan kebenaran, pada hal beliau seorang peguam terkemuka.

Menurut Zahrain, sebenarnya melalui suruhanjaya tersebutlah peluang terbaik bagi pembangkang untuk membunuh sokongan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN), jika benar 'aktor' lelaki dalam video seks berkenaan bukan Anwar sebagaimana didakwa.

"Saya hairan mengapa pembangkang yang kononnya berjuang demi menegak keadilan, sanggup menentang kehendak umum yang ingin tahu kebenaran melalui suruhanjaya diraja. Apa sebenarnya yang mereka ingin sorokkan, rakyat berhak mengetahui kebenaran," katanya