Saya tidak pernah bersimpati dengan Komunis, jauh sekali dari mahu menyokongnya, namun realiti tetap realiti, Sekadar sebagai contoh, semasa para pengguna Lebuh raya di Cheras Kuala Lumpur satu ketika dahulu mengadakan tunjuk perasaan membantah para pengguna dari kawasan tersebut dikenakan tol, walhal mereka terpaksa melaluinya sampai empat atau lima kali sehari kerana menghantar atau mengambil anak mereka di Sekolah.
Namun tunjuk perasaan mereka terpaksa berdepan dengan anggota Polis FRU, dengan gas pemedih mata dan sebagainya, sedangkan anggota Polis FRU tersebut juga adalah pengguna lebuh raya tersebut dan apabila perjuangan para penduduk yang mahu lebuh raya tersebut dikecualikan dari dikenakan tol di perkenankan dalam bentuk di bina jalan lencongan baru yang bebas dari tol.
Maka para anggota Polis FRU tadi turut menikmati faedahnya, walhal sebelumnya mereka menganggap para penunjuk perasaan ini adalah penentang Kerajaan kalau pun tidak sampai dicop pengkhainat.
Maka rencana yang saya petik dari Merdeka Review dibawah ini mempunyai banyak persamaannya.............
Komunis memaksa penjajah British berunding dengan Tunku
Sering kali nama Martin Luther King Jr. (1929 - 1968) diungkit, malah ayat-ayat dalam ucapan beliau yang bersejarah, "I have a dream" (Aku mempunyai satu impian), berulang-kali dipetik ketika memerangi politik perkauman sempit yang masih berleluasa dalam masyarakat pada kurun ke-21 ini. Nama beliau terpahat sebagai ikon dalam sejarah ketamadunan manusia menuntut kesamarataan antara kaum.
Sebaliknya, Malcom X (1925 - 1965), seorang lagi aktivis perjuangan hak kaum kulit hitam yang sezaman dengan Martin Luther King Jr., semakin terpadam dari sejarah. Malcom X adalah nama yang digelar dirinya oleh El-Hajj Malik El-Shabazz, seorang muslim - untuk menonjolkan bagaimana orang putih menghamba-abdikan kaum kulit hitam ketika itu, sehingga hilang nama keturunannya, diganti dengan "X" - simbol pembolehubah yang paling biasa digunakan dalam matematik.
Kedua-dua orang Martin Luther King Jr. dan Malcom X mengalami nasib yang sama, menerima peluru sebagai tanda noktah kepada riwayat hidup mereka. Bagaimanapun, "nasib" mereka selepas meninggal dunia - jauh berbeza. Martin Luther King Jr. diberi reputasi yang lebih tinggi dalam sejarah, berbanding dengan Malcom X. Layanan ini mungkin dibezakan mengikut pendekatan perjuangan kedua-dua mereka, di mana Martin Luther King Jr. menggunakan "cara aman", sementara Malcom X mengangguk kepada keganasan.
Sejarah bukan hakim muktamad, kerana manusia yang mencatat sejarah tidak bebas daripada prasangka dan prejudis dirinya. Sejarah hanya merakamkan kesudahan yang terpampang di depan mata, jarang sekali mengupas secara mendalam kebenaran yang rumit, berlapik-lapik, malah berliku-liku, apatah lagi apabila sejarah ditulis oleh mereka yang menang dan berkuasa.
Hanya mereka yang naif akan percaya bahawa orang putih "insaf" secara tiba-tiba, dan kemudian mengaku salah ke atas segala diskriminasi dan kezalimannya terhadap kaum kulit hitam. Dalam mana-mana pergelutan dan pergolakan yang melibatkan kuasa, sebarang kompromi hanya datang apabila wujudnya penentangan dan tekanan. Berdepan dengan penentangan dari kaum kulit hitam, orang putih Amerika Syarikat terpaksa memilih, antara pendekatan Martin Luther King Jr. dengan Malcom X..., dan sudah tentunya, mereka memilih Martin Luther, King Jr. yang lebih "lembut" berbanding dengan Malcom X yang "ganas".
Namun demikian, apakah orang putih akan berganjak langkah untuk memberi laluan kepada Martin Luther, King Jr. tanpa kemunculan Malcom X? Atau, seandainya Malcom X memilih pendekatan yang sama sebagaimana yang digunakan Martin Luther King Jr., di mana agaknya kedudukan tangga reputasinya dalam sejarah? Atau soalan yang lebih relevan mungkin berbunyi, apakah kaum kulit hitam akan berjaya dalam perjuangan hak mereka, atau dipecah-belahkan ketika itu?
Bukan maksud dan niat saya untuk mendukung politik dendam dan merestui pendekatan keganasan. Maksud saya, setiap manusia memainkan peranan yang berbeza untuk menggerakkan kemajuan sejarah ketamadunan. Sesungguhnya perwatakan atau peranan seseorang itu mungkin dipertikai seandainya dilihat menggunakan kaca mata zaman ini, namun kita perlu merenungi, apakah pilihan yang ada dalam konteks masyarakat ketika itu?
Persoalan yang sama, seandainya tiada perang gerila dalam hutan yang melibatkan Parti Komunis Malaya (PKM), apakah penjajah British sanggup berunding di atas meja bersama wakil UMNO, dan bersetuju untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Malaya pada 31 Ogos 1957? Antara pasukan Chin Peng, Abdullah CD dan Rashid Maidin yang bersenjata, dengan perikatan antara Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock dan V.T. Sambanthan yang bermuka senyum, gandingan manakah yang akan dipilih oleh penjajah untuk "berunding"?
Sesungguhnya ia sesuatu yang senang difahami. Meskipun perjanjian ditandatangani dengan dakwat, namun kemerdekaan diperjuangkan dengan titisan darah. Begitu juga keadaannya sekarang, kalau tandatangan pada memorandum boleh membawa perubahan, siapa pula yang sanggup ditembak meriam air berkimia di jalan raya? Sebaliknya, tanpa mereka yang turun untuk melaungkan slogan dalam kepulan gas pemedih mata, tuntutan dalam memorandum hanya akan kekal sebagai dokumen bersejarah yang berdebu.
Perlu difahamkan bahawa dalam zaman perang, sama ada saya menembak, atau saya ditembak; sama ada saya membunuh, atau saya dibunuh. Kita tidak semestinya menyetujui kesemua ideologi yang didukung oleh mereka yang meletakkan nyawa mereka di hujung senapang. Namun kita perlu bersetuju bahawa kemerdekaan itu juga diperjuangkan dengan titisan darah anggota PKM, yang akhirnya memaksa penjajah British untuk berunding dengan Tunku Abdul Rahman.
Masing-masing memainkan peranan mereka dalam sejarah perjuangan kemerdekaan. Sumbangan Tunku dan perikatannya dipahat dalam sejarah, sementara tiada tempat untuk nama PKM dan rejimennya. Untuk sekian lama titisan peluh, air mata, dan darah mereka dilenyapkan; untuk sekian lama perjuangan mereka dinafikan, dicemuh dan dicaci dengan pelbagai tuduhan liar.
Namun, ingatlah bahawa mereka benar layak untuk mendabik dada dan menyanyikan "Negaraku, tanah tumpahnya darahku...". Jika tidak mengiktiraf pun, siapakah pula kita untuk memahat label "pengkhianat" ke atas anggota PKM yang pernah mendabik dada sebagai perisai untuk menghalang kemaraan peluru penjajah?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan