Sabtu, 4 Disember 2010
Ucapan inikah yang dikatakan mahu MEMUSNAHKAN orang Melayu ?
Inilah ucapan Wan Azizah di konggres PKR hari itu, saya petik dan perturunkan ucapan di bawah tajuk kecil "Bangsa Bermaruah" dari point 27 hingga 32:
Saudara saudari sidang kongres;
Saya, sebagai orang Melayu yang beragama Islam, berkeyakinan bahawa tidak akan ada satu bangsa pun yang akan menjadi agung dan dihormati hanya apabila menggelar diri sendiri sebagai tuan. Kitab al Quran banyak mengisahkan bagaimana Tuhan telah menghancurkan kaum dan bangsa-bangsa yang bermegah-megah konon menjadi tuan dan memandang rendah kepada bangsa atau kaum yang lain. Sesungguhnya, semulia-mulia di sisi Tuhan adalah mereka yang paling tinggi taqwanya (amalan baik dan kebajikan kepada insan lain).
Nyatalah bahawa sesuatu bangsa dan kaum itu hanya akan menjadi agung dan dipandang tinggi apabila mereka bermaruah. Lalu andainyasesuatu bangsa itu mahu besar, mereka harus memelihara dan menjaga maruah mereka termasuk kepada orang Melayu.
28. Sebenarnya dalam tradisi orang Melayu mereka amat menyedari kepentingan menjaga maruah diri supaya dipandang tinggi oleh orang lain. Mari kita merenung sejenak beberapa ungkapann pantun klasik di bawah;
Tenang tenang air laut
Sampan kolek mudir ke tanjung,
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi baik rasanya nak junjung.
Kapal belajar dari Arakan,
Ambil gaji jadi jemdui,
Mati ikan kerana umpan,
Mati saya kerana budi.
Pisang emas di bawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati.
29. Justeru itu konsep ketuanan Melayu wajib dibakulsampahkan supaya anak-anak kita membesar dengan visi bangsa bermaruah atau Melayu bermaruah. Ketuanan Melayu adalah slogan yang digunakan oleh sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdayakan orang Melayu yang ramai, demi kepentingan diri sendiri. Mereka adalah manusia yang melakukan rasuah, korup, pecah amanah dan pelbagai kebejatan lain.
30. Selama 53 tahun mereka berkuasa, nasib Melayu dan bumiputera, masih tetap terabai. Orang Melayu dan Bumiputera sedang mengalami nasib hidup yang sangat menyedihkan. Mereka sedang dilanda masalah sosial, pendidikan, ekonomi dan budaya kehidupan yang membimbangkan. Kuota 30 peratus penguasaan ekuiti Melayu-Bumiputera gagal dicapai. Daripada RM54 bilion ekuiti dan saham untuk bumiputera, hanya RM2 bilion kekal di tangan orang Melayu.
Di Semenanjung, di Sabah dan di Sarawak, kelompok paling miskin, daif dan terbiar melarat, adalah kaum bumiputera. Buruh bumiputera di Batu Sapi hanya dibayar RM 9.50 untuk kerja mereka selama sehari. Malah, bagi setiap empat keluarga yang pendapatan isi rumahnya kurang dari RM2,000 setiap bulan, tiga dari keluarga itu adalah terdiri dari keluarga Melayu.
31. Kerajaan Umno-Barisan Nasional juga tidak mempedulikan nasib dan kedudukan orang Asli di Semenanjung Malaysia. Kehidupan mereka masih terbiar dan tidak mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya. Kedaifan hidup mereka bagai sengaja dirancang untuk dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu di saat dan ketika yang mereka perlukan. Tidak ada langsung peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi menjamin kepentingan hak kaum pribumi di negara ini.
Kedudukan mereka tidak terjamin kerana hak mereka tidak dimasukkan dalam tafsiran Perkara 153 dan Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan. Fasal (2) Perkara 160 hanya menafsirkan Orang Asli adalah Orang Asli Semenanjung Tanah Melayu, manakala dalam artikel 153 Perlembagaan Persekutuan pula hanya merangkumi Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak sahaja. Kita berjanji akan mengambil satu tindakan yang berani dan bertanggungjawab untuk menjamin kedudukan Orang Asli ini dalam kerangka keupayaan kita.
32. Semua ini membuktikan bahawa para pemimpin UMNO bukan berjuang untuk membela orang Melayu. Parti ini hanya berminat untuk menjaga kepentingan tauke-tauke tertentu . Umno adalah "parti tauke" dan jauh sekali untuk berwajah sebagai "parti rakyat". Maka itu, KEADILAN dan Pakatan Rakyat adalah pilihan terbaik untuk semua orang Melayu dan seluruh rakyat di Malaysia.
Cuba perhati dan hayati betuk-betul teks ucapan Wan Azizah itu. Apakah di situ bermaksud ia ingin menghakiskan hak keistimewaan orang Melayu atau membuang Raja-Raja Melayu, menyentuh langsung perlembagaan negara?
Di dalam perlembagaan Negara tidak ada perkataan ketuanan Melayu. Malahan konsep ketuanan Melayu yang diperagakan Umno itu tidak ada. Ini disahkan sendiri oleh ahli sejarah Prof Dr EmeritusKhoo Kay Kim dan juga pakar-pakar perlembagaan yang tidak berkepentingan serta peguam yang berdiri atas necara keadilan.
Maka berdasarkan apa yang tertera diatas nyatalah bahawa isu mahu menghapuskan hak-hak istimewa orang Melayu yang di tempekkan adalah modal murahan UMNO semata-mata.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan