Rabu, 21 Oktober 2009

Aduan SPRM terhadap salahguna kereta SUK Pahang

Menurut lapuran dari Malaysia Kini bahawa Dewan Pemuda PAS (DPP) Pahang hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyalahgunaan kenderaan milik kerajaan negeri itu, seperti yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Aduan tersebut dibuat oleh Naib Ketua DPP Pahang, Abdullah Abdul Karim di pejabat SPRM Temerloh - yang mengendalikan aduan di bahagian Pahang Barat - kira-kira jam 4 petang tadi.

Menurut Abdullah, laporan itu dibuat kerana semakan pihaknya mendapati terdapat unsur-unsur penyelewengan dalam penggunaan kenderaan kerajaan negeri.

Menurut laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan kelmarin, terdapat 24 kes penyalahgunaan kad inden bagi perolehan bahan api melibatkan lima kenderaan pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang.

Kesemua pengisian itu merekodkan pengisian sebanyak lima liter dengan jumlah kos bahan api sebanyak RM574.53. Malah, sebuah Proton Perdana direkodkan mengisi minyak bernilai lebih RM100 sebanyak dua kali dalam masa satu minit.

Jabatan Audit Negara turut mendapati perolehan bahan api yang melebihi tangki kenderaan, selain penggunaan kad inden terhadap kereta yang telah lama dilupuskan.

Selain itu, kos penyenggaraan kenderaan, antaranya penyenggaraan empat buah Proton Perdana V6 Executive di pejabat SUK antara 2004 dan 2008 lebih tinggi berbanding dengan kos perolehan kenderaan tersebut.

Saya memetik berita mengenai penyelewengan yang telah pun di buat lapurannya oleh DPP Pas Pahang, bukanlah sangat kerana mahu memberikan publisiti kepada DPP Pas Pahang,

Bagi saya memberikan publisiti samaada kepada DPP Pas Pahang atau kepada Pergerakan Pemuda Umno tidak penting, yang penting bagi saya sebagai seorang rakyat biasa ialah membenteras segala penyelewengan yang dilakukan oleh sesiapa sahaja.

Kerana penyelewengan yang dilakukan yang melibatkan wang Kerajaan Negeri akan dengan segera memberi kesan kepada rakyat bawahan seperti saya, sebagai contoh, dengan segala penyelewengan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Pahang sekarang, yang menyebabkan Kerajaan Negeri boleh di ishtiharkan muflis pada bila-bila masa sahaja.

Kesan segera yang dirasai oleh rakyat biasa seperti saya ialah kenaikan cukai tanah yang meningkat sebanyak 300% mulai tahun hadapan.

Kenaikan cukai ini sudah tentunya adalah sebagai sebahagian strategi persediaan untuk mengelak dari Kerajaan Negeri Pahang menjadi muflis kerana tidak mampu melunaskan arahan Mahkamah bagi membayar denda berkaitan kes balak yang melibatkan wang berjumlah RM 64 juta.

Saya difahamkan bahawa ada dua kes lagi yang juga melibatkan puluhan juta ringgit sedang menunggu untuk dibicarakan di Mahkamah dan sekiranya kes tersebut di menangi oleh pihak yang menuntut, sudah tentu rakyat jelatalah yang akan menerima kesannya nanti.

Oleh itu kepada semua orang Pahang, kita sebagai rakyat perlu memberikan perhatian kepada kes-kes sebegini, kerana andainya kita buat tidak kisah, akhirnya kesannya akan ditanggung oleh kita juga.

Satu cara yang paling berkesan untuk mengajar orang politik supaya mentadbir negeri kita dengan sebaik-baiknya ialah melalui peti-peti undi.

Andainya kita gagal mengajar orang-orang politik ini melalui peti undi, maka usahlah marah jika orang-orang politik ini mengelentong kita.

Memang orang bodoh mudah di kelentong oleh orang yang pandai, mahukah kita terus menjadi orang yang bodoh ? ........................................................tepuk dada tanya iman.





1 ulasan:

.@blogger.com berkata...

Salam,
Syabas albabina. Tepuk dada tanya selera? Saya terpaksa menepuk dahi/kepala. Bagaimana pula penjawat awam yang bukannya orang politik? Mereka juga melakukan banyak onar namun yang busuknya berbalik kepada kerajaan memerintah? ~ bRAVEhEART